Enam belas tahun yang lalu, tidak pernah terjangkau dek akal karyawan filem tempatan untuk menerbitkan malah bagi khalayak filem Malaysia untuk menonton sebuah filem epik yang menelan belanja lebih RM16.6 juta dan mencecah hampir RM20 juta dengan kos publisiti dan pemasaran. Namun, ia tetap bukan satu penghalang buat syarikat produksi Enfiniti Productions menggembleng ide bagi menghasilkan sebuah naskhah fiksyen berteraskan dua cerita legenda, Puteri Gunung Ledang dan Hang Tuah dengan menyatukan dua dunia berbeza di bawah satu nusantara Kesultanan Melayu Melaka dan Majapahit.
Kisah epik ini terus menjadi buah mulut masyarakat walaupun setelah 16 tahun usianya sewaktu ia pertama kali ditayangkan pada 31 Ogos 2004. Pelbagai medium dan platform bersilih ganti demi memanjangkan hayat PGL, dari filem ia kemudiannya diberikan nafas segar di pentas teater muzikal, dari format VCD ke yang terkini DVD-BluRay, dari lembaran buku cerita kanak-kanak sehingga terkini ke portal penstriman video terkenal dunia. Begitulah kitaran hayat naskhah agung ini yang tidak pernah dibayangkan satu ketika dahulu.
Bersempena sambutan ulangtahun syarikat produksi Enfiniti, filem arahan pengarah tersohor Saw Teong Hin (‘Hoore! Hoore!’, ‘You Mean The World To Me’) itu ditayangkan secara percuma untuk satu malam secara eksklusif di portal video YouTube. Tayangan eksklusif tersebut berjaya menghimpunkan lebih 5,000 tontonan penonton dan interaksi dalam ruangan sembang secara langsung di YouTube, serta komen di laman media sosial EnfinitiMY.
Mengorak selangkah secara drastik, Enfiniti menawarkan tontonan filem itu secara berbayar di platform penstriman video mereka, EnfinitiV.Asia selama 10 hari. Peminat filem tempatan terus memohon agar tayangan filem itu disambung. Kemunculan semula tajuk filem itu di garis masa media sosial semakin luas jangkauannya apabila hari ini filem lakonan M.Nasir (‘Kembara Seniman Jalanan’, ‘Fenomena’) dan Tiara Jacquelina (‘Ringgit Kassorga’, ‘Irisan Irisan Hati’, ‘Beyond Rangoon’) itu mula ditayangkan di platform penstriman video popular dunia, Netflix.
Tidak pernah terbayang di fikiran saya, setelah 16 tahun filem itu ditayangkan ia akan terus segar dan diingati penonton hari ini – Tiara Jacquelina
Menurut Tiara Jacquelina, selaku Chief Dream Maker Enfiniti Group, Penerbit Eksekutif dan pelakon utama ‘Puteri Gunung Ledang’, “Saya mengalirkan air mata sewaktu menonton semula filem tersebut setelah sekian lama. Tidak pernah terbayang di fikiran saya, setelah 16 tahun filem itu ditayangkan ia akan terus segar dan diingati penonton hari ini. Peminat tegar dunia perfileman, penuntut jurusan perfileman dan pengkritik filem sehingga hari ini merujuk filem epik itu sebagai filem Malaysia yang paling indah pembikinannya.
Saya sangat bersyukur dan berterima kasih di atas dedikasi pengarah, Teong Hin dan seluruh pasukan tenaga kerja yang terlibat dalam pembikinan filem ini. Sewaktu saya menonton rakaman di belakang tabir, ia mengingatkan kembali betapa mencabarnya projek ini, tetapi setiap seorang yang terlibat telah mencurahkan bakti mereka yang tidak terhingga.”

Mengapa jenama Puteri Gunung Ledang, yang pernah meraih pelbagai anugerah di dalam negara dan di luar negara itu masih meniti manis di bibir peminatnya? Buat saya, faktor utama yang menarik perhatian penonton lama mahu pun yang baru menjadi peminat filem ini tidak lain kerana naskhah filem epik ini digarap dengan begitu baik oleh pengarahnya Teong Hin serta nukilan skrip bernuansa sastera Melayu tulisan Mamat Khalid (‘Man Laksa’, ‘Kala Malam Bulan Mengambang’, ‘Apokalips X’) telah berjaya menterjemah budaya dan tatasusila peradaban Melayu serta digabung dengan keunikan dua budaya serumpun berlatar kerajaan Majapahit.
Kisah fiksyen ini digarap menjadi sebuah legenda yang cukup meyakinkan sedangkan jika bersandarkan kisah sejarah sebenarnya dan latar masa kedua-dua kisah legenda ini ternyata ia berlaku pada jarak masa yang berbeza. Namun atas kebijaksanaan penulis lakonlayar, dua cerita legenda itu kini telah pun menjadi satu sekaligus mewujudkan kepercayaan baru terhadap dunia fiksyen yang dicipta Mamat Khalid. Kata bual klasik dengan nilai sastera yang menonjolkan peradaban dan tatasusila Melayunya juga diingati sehingga ke hari ini. Walaupun generasi sekarang mungkin mengambil masa sedikit untuk mendapatkan pemahaman yang lengkap namun memiliki rasa untuk menghargai khazanah budaya bangsa sudah cukup memadai.
Pengkarya generasi baru dan penggemar filem ini seharusnya berani mencabar daya imaginasi mereka dan menolak dari terus terperangkap dalam dunia realisme angan-angan mereka semata-mata lalu menjadikan mereka tidak ubah seperti katak di bawah tempurung dan berterusan menolak elemen fiksyen dalam sesebuah karya seperti ‘Puteri Gunung Ledang’.
Gabungan mantap berketrampilan pelakon Malaysia dan Indonesia terus diperkatakan ramai. Dari seputar layar filem Melayu, filem ini turut menampilkan pelakon ternama seperti Adlin Aman Ramlie (‘Jogho’, ‘Gubra’, ‘Susuk’), Datuk Rahim Razali (‘Abang’, ‘Pemburu’, ‘Matinya Seorang Patriot’), Sofia Jane (‘Perempuan Isteri Dan…’, ‘Hanyut’). Manakala sineas papan atas Indonesia dibarisi pelakon tersohor Christine Hakim (‘Tjoet Nja’ Dhien’, ‘Eat Pray Love’), Slamet Rahardjo (‘Cinta Pertama’, ‘Badai Pasti Berlalu’, ‘Alangkah Lucunya (Negeri Ini)’), Alex Komang (‘Laskar Pelangi’, ‘Hanyut’) dengan penampilan istimewa Dian Sastrowardoyo (‘Ada Apa Dengan Cinta’, ‘Kartini’).
Pengkarya generasi baru dan penggemar filem ini seharusnya berani mencabar daya imaginasi mereka dan menolak dari terus terperangkap dalam dunia realisme angan-angan mereka semata-mata
Melihat pada aspek pembikinan filem epik ini di sekitar tahun 2000, banyak perkara yang boleh dipelajari oleh penuntut jurusan filem zaman ini. Tahun tersebut pembikin filem tempatan masih belum terdedah dengan teknologi imej janaan komputer (CGI). Oleh itu setiap perincian di dalam filem tersebut perlu dibina secara fizikal ini termasuk set Istana Puncak Mahligai, set di Gunung Ledang, pelayaran Gusti Puteri dari Majapahit ke Melaka, perkampungan Melaka, keraton Majapahit dan beberapa lagi.
Usaha membina sesebuah set dalam filem terkini mungkin sudah dipermudahkan dengan pelbagai teknologi terkini yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar perfileman sekarang. Namun mempelajari ilmu asasnya dari mereka yang pakar dan telah melibatkan diri dalam penghasilan filem ini wajar dimanfaatkan. Jika berpeluang untuk menonton dokumentari ‘Di Sebalik Tabir PGL’, tontonlah kerana di situlah asasnya. Sayang sekali setiap set yang dibina dahulu terpaksa dimusnahkan tanpa menyedari nilai-nilai estetika dan komersialnya andai kerajaan pusat sedar akan nilainya sebagai tarikan pelancongan pada ketika itu.
Setiap kali berbicara atau membaca dokumentasi mengenai filem epik ini tidak dapat tidak terdetik rasa terkilan apabila keseluruhan produksi yang dibina dari mula tidak dipelihara untuk menjadi satu tarikan pelancongan di Melaka sekurang-kurangnya. Sekiranya kerajaan pusat dan negeri membenarkan set itu terus dipelihara, kita telah memiliki satu taman tema yang mengangkat khazanah budaya kita hari ini. Jika tidak sebesar Disneyland atau pun Universal Studio, cukuplah sekiranya jenama Puteri Gunung Ledang itu terus dikomersialkan untuk menjadi salah satu daripada tarikan pelancongan di Melaka.

Bayangkan sekiranya set Istana Puncak Mahligai dibangunkan menjadi sebuah muzium di sudut Warisanland yang diberikan sentuhan teknologi virtual reality dan augmented reality dalam sudut penceritaannya. Set di Pelabuhan Melaka digambarkan sebagai sebuah taman Fantasiland ala ‘It’s a Small World’ yang membawa pengunjung dalam sebuah pengembaraan mengimbas kegemilangan Pelabuhan Melaka satu ketika dahulu yang menjadi pusat perniagaan antara benua dunia. Replika persekitaran Gunung Ledang sekiranya dibangunkan menjadi sebuah taman bertemakan Adventureland yang menampilkan aktiviti-aktiviti lasak seperti zipline, wall-climbing dan rumah sesat untuk kanak-kanak dalam suasana hijau berlatar flora dan fauna di sini. Turut menampilkan set kerajaan Majapahit yang diterjemah dalam elemen Cultureland gabungan dua budaya serumpun dalam teras teknologi virtual reality.
Dan akhirnya tunjang taman tema ini berpusat di panggung berteknologi tinggi Encore Melaka menjadi pelengkap untuk taman tema ini dengan konsep Futureland. Di pentas berputar 360 darjah itu dipersembahkan sejarah empayar Kesultanan Melayu Melaka dengan menampilkan teknologi persembahan terkini, pelakon dan penari tempatan yang terlatih dalam sebuah persembahan berlatar kisah dua legenda yang ditulis oleh karyawan kita. Tanah tambakan laut seluas itu di sekeliling Encore Melaka amat wajar dibangunkan untuk mengangkat kisah legenda khazanah budaya kita dari perspektif kita sendiri dan bukannya orang luar.
Hari ini jenama ‘Puteri Gunung Ledang’ terus sohor kini dan lebih membanggakan apabila generasi baru yang meminati filem mula kenal kepada jenama yang cukup popular lebih sedekad yang lalu
Hingga hari ini, walaupun berbeza medium filem ‘Puteri Gunung Ledang’ masih berada dalam senarai filem sohor kini di portal video Netflix. Tatkala panggung wayang mula ditutup satu persatu dengan norma baru penontonan beralih ke portal penstriman video atas talian, generasi baru mula membuka mata untuk mengenali siapakah Puteri Gunung Ledang dan Hang Tuah. Jika sewaktu mula ditayangkan dahulu mereka mungkin masih kanak-kanak di bangku sekolah, hari ini sebagai seorang dewasa persepsi mereka pastinya berbeza terhadap peradaban dan tatasusila bangsa Melayu yang sewajarnya diwarisi dari generasi ke generasi sampai bila-bila.
Tambah Tiara lagi, “Terdapat ramai di kalangan peminat di media sosial saya yang berkongsi detik-detik nostalgia mereka. Ada di kalangan mereka yang menonton filem itu sewaktu di zaman percintaan dan hari ini telah pun berkahwin dan berkeluarga. Ada juga penonton di kalangan kanak-kanak, seusia anak saya, Dani yang kini lebih memahami konteks dan selok-belok peradaban Melayu menerusi filem ini sebagai seorang dewasa. Ada di antara penonton yang menonton bersama ibu-bapa mereka yang kini telah pun kembali menemui penciptaNya. Hari ini mereka mahu generasi kini anak-anak mereka agar turut merasai betapa magisnya pengalaman menonton filem ‘Puteri Gunung Ledang’. Saya berharap anda semua dapat menikmati nashkah cinta agung khazanah kita sebagai hadiah daripada kami untuk semua pencinta filem.”
Hari ini jenama ‘Puteri Gunung Ledang’ terus sohor kini dan lebih membanggakan apabila generasi baru yang meminati filem mula kenal kepada jenama yang cukup popular lebih sedekad yang lalu. Bukanlah sesuatu yang mengejutkan sekiranya satu hari kelak, jenama ini memiliki taman temanya sendiri atau pun Gusti Puteri terus abadi sebagai satu watak dalam portal permainan maya yang menjadi kegilaan generasi milenial kini.
‘Puteri Gunung Ledang’ telah ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Venice pada tahun 2004, filem pertama produksi dari Malaysia yang terpilih ke senarai pilihan rasmi tayangan di festival filem tersebut. Ia juga merupakan filem pertama Malaysia yang telah dihantar untuk Anugerah Akademi tahun 2005 dengan tajuk “A Legendary Love” dan disenarai pendek antara 50 buah filem dalam kategori Filem Bahasa Asing Terbaik. Ia turut memenangi pelbagai anugerah di dalam dan di luar negara, termasuk Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Rekaan Seni Terbaik, dan Skor Muzik Terbaik di Festival Filem Malaysia 2004. Tiara Jacquelina yang juga penerbit dan pelakon utama filem ini memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke 50 dan Penerbit Terbaik di Asian Festival of First Films (2005).
Comments
Loading…