in

“Jangan Senang Percaya dengan Orang Lain” – Julian Cheah

Walaupun masih tidak dikenali ramai, pelakon dan pengarah ini terus berkarya dan mensasarkan pasaran antarabangsa untuk filem seram terbaharunya…

Selepas melalui pelbagai liku dalam dunia perfileman tanahair dan antarabangsa, dia masih tidak berputus asa dalam pembikinan filem dan akan menghasilkan filem seram tulisannya sendiri berjudul ‘Eidolon’ yang akan mulakan penggambarannya bulan ini (November 2020). Beliau begitu optimistik dalam penghasilannya nanti dan meletakkan sepenuh kudratnya dalam mempastikan filem ini mendapat tempat di mata perfileman antarabangsa.

Nama JULIAN CHEAH mungkin tidak popular di kalangan penggemar layar perak di negara ini tetapi individu ini sudah pun berkecimpung di dunia industri seni kreatif sejak tahun 1987 melalui lakonan beliau dalam telefilem ‘Menyeka Kabus di Lerang’. Sejak itu Julian sudah tidak menoleh ke belakang.

Penghasilan filem indie beliau berjudul ‘Retribution’ (1988) melalui syarikat penerbitannya sendiri Julian Cheah Production menunjukkan keintiman beliau dengan dunia perfileman. Sudah banyak liku ditempuhi oleh anak watan Pulau Pinang ini dan tahap kematangan tersebut membawa beliau untuk membuat keputusan yang berat iaitu melepaskan tanggungjawab dalam pengarahan dan sebaliknya memfokuskan kerjanya melalui penulisan dan lakonan.

Antara kejayaan yang pernah dikecapi Julian termasuk dicalonkan dalam katergori Best Picture dalam sebuah festival filem di Perth (Australia) melalui filem arahannya berjudul ‘Infected Paradise’ (Rodman Pictures, 2013). Julian juga baru sahaja selesai dalam memikul tanggungjawab memegang watak utama, Major Tanada dalam filem sejarah semasa Perang Dunia Kedua di antara Thailand-Malaysia.

 

Boleh anda ceritakan latarbelakang anda dibesarkan dan perkara yang membawa anda sehingga obsess kepada perfileman sebagai kerjaya.

Saya dibesarkan dalam keadaan yang dikongkong oleh kedua ibubapa dan tidak dibenarkan saya bergaul dengan rakan sebaya. Oleh sebab itu saya kira tahap kematangan pemikiran saya agak lambat. Tetapi, kaedah tersebut memberikan saya masa yang lebih lama dalam mematangkan fikiran dan melalui liku-liku dalam kehidupan di luar sana. Mungkin itu banyak membantu sehingga saya menjadi seperti yang anda lihat sekarang.

Dari zaman remaja lagi semasa di England, saya banyak meluangkan masa menonton wayang di West End London dan dari situlah saya terpegun dan mula bernekad bahawa inilah yang saya ingin lakukan (bila besar nanti). Semasa berusia 10 tahun lagi saya sudah bermain-main seperti saya dalam menjalani penggambaran. Dengan tangan konon memegang kamera dan satu mata dikenyitkan seolah-olah sedang fokus lensa kamera. Kadangkala juga saya berangan-angan menjadi koreografer babak gaduh.

 

Seperti pembikin-pembikin filem yang lain, sudah tentu anda tidak terlepas daripada dikritik dan menjadi buah mulut orang yang tidak menyenangi dengan hasil yang anda berikan. Bagaimanakah anda menghadapi situasi sedemikian?

Kritikan daripada orang awam menyedarkan saya bagaimana untuk menjadi lebih baik dalam setiap apa yang saya lakukan. Setiap kerja yang saya lakukan saya cuba perbaiki kelemahan. Saya tidak boleh mengalah sebab itulah cita-cita saya sejak dari kecil lagi. Saya tidak boleh nafikan bahawa saya menerima pelbagai tekanan tetapi saya cuba berfikiran positif dan menjadikan kritikan-kritikan tersebut suatu yang membina dan terus ke hadapan.

Saya bermula dengan membikin filem indie dan seperti yang kita tahu, filem indie ini banyak yang dibuat secara sederhana yang kaya dengan content. Apabila saya memasuki alam mainstream, cara pembikinan saya sukar diterima, termasuklah cara kerja saya. Saya harus menerima hakikat tersebut dan melepas sesuatu demi untuk terus relevan dalam industri ini. Maka saya cuba untuk mengubah haluan daripada pengarahan kepada bertindak sebagai penerbit eksekutif dan pelakon di mana bagi pendapat ramai, saya mempunyai bakat dan mungkin sesuai memegang watak terutama yang memerlukan watak yang bermata sepet.

Saya bermula dengan filem indie… dan apabila saya memasuki alam mainstream, cara pembikinan saya sukar diterima

Sekiranya anda berupaya untuk mengubah diri anda, apa yang anda lakukan?

Saya mahu putaran masa ke zaman saya berumur 24 tahun, semasa saya baru sahaja selesai perkuliahan dan memulakan karier saya dalam industri perfileman. (Julian mempunyai kelulusan sarjana muda dalam jurusan filem dan televisyen, New York).

Saya telah buat banyak kesilapan dan saya terlalu mempercayai orang. Jika saya lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu keputusan, saya mungkin akan lebih berjaya berbanding sekarang. Saya sedar bahawa itu tidak akan berlaku. Maka apa yang penting sekarang adalah memperbaiki kesilapan-kesilapan tersebut dan lebih berhati-hati dalam gerak laku saya. Umum mengetahui bahawa dalam sesuatu pembikinan filem, kerja berpasukan adalah amat mustahak.

Bercakap tentang perubahan, saya tidak mahu menjadi seorang Caucasian yang laku di pasaran Hollywood. Saya bangga berdarah cina dan akan tetap memainkan watak seorang cina. Oleh sebab itulah saya sedang bekerja keras untuk mewujudkan watak-watak yang sesuai untuk saya terbitkan sendiri di Hollywood. Lihat sahaja kejayaan Sylvester Stallone yang menciptakan watak untuknya dalam Rocky.

Saya tidak mahu membuat angan-angan kosong tetapi saya percaya akan kebolehan saya, terutama dalam bidang lakonan. Mudah sekiranya saya dilahirkan dalam keluarga dalam bidang yang sama, seperti Michael Douglas yang berbapakan Kirk Douglas. Saya hanya boleh berharap saya berada dalam latarbelakang sedemikian. Saya tahu ia mustahil untuk berlaku ke atas diri saya. Saya juga bukan seorang warganegara Amerika. Kalau tidak, senang untuk saya untuk menghadiri ujubakat yang dijalankan. Oleh yang sebab itulah saya terpaksa mengambil pendekatan lain yang ada untuk memungkinkan impian saya ini tercapai.

 

Baru-baru ini anda diberi kepercayaan untuk berlakon dalam filem berunsur sejarah Perang Dunia Kedua di Thailand. Apakah kerumitan yang anda hadapi dalam menjalani tanggungjawab tersebut?

Sebagai tentera Jepun, saya cuba untuk menghayati karakter watak tersebut. Saya melihat seseorang itu dalam wataknya sebagai seorang manusia bukan latarbelakang negaranya. Kajian saya lebih menjurus kepada kesetiaan dan sifat patriotisme kepada jajahan kuasanya. Saya bertanggungjawab untuk menunjukkan karakter watak Major Tanada sebagai seorang insan, bukannya seorang warganegara sesebuah negara.

 

Apakah rancangan anda di masa terdekat?

Selepas ‘Mah’s Journey’ saya akan memulakan pembikinan filem seram ‘Eidolon’ bermula bulan November. Saya bukanlah seorang penggemar filem seram tetapi umum mengetahui dan bersetuju bahawa filem berjenis ini amat digemari di seluruh dunia. Saya mengambil keputusan untuk menghasilkan sebuah naskah sedemikian. Lakon layar ditulis seorang wanita muda berbakat, Thea Topaz beberapa tahun yang lalu. Ia hasil daripada nukilan saya sendiri dengan bantuan penyelia skrip Calvin Wong.

Selain daripada tayangan di seluruh negara, kami juga dalam perancangan untuk ia dihantar ke panel penilai di kalangan festival filem dunia. Kami sedar bahawa hanya 120 filem sahaja yang akan dipilih daripada senarai 5 ribu filem yang bakal diterima setiap tahun. Ia suatu yang tidak mudah dan ia juga tidak mustahil, bukan? Jika impian kami ini tercapai, cuba anda bayangkan ia akan menjadi satu batu loncatan untuk pasukan saya.

 

Apakah kekuatan dan kelemahan yang anda miliki sebagai seorang sutradara?     

Sebagai pengarah, saya kira cara pembawakan saya tidak mengikut peredaran zaman (sebut: old-fashioned). Mungkin saya bermula dengan menghasilkan filem-filem indie sebelum ini. Maka, saya melepaskan tanggungjawab bidang pengarahan kepada Don Hoe (pengarah ‘Mah’s Journey’). Beliau lebih dapat beradaptasi dengan kehendak masa kini. Saya juga amat menyenangi dengan penelitian kerja yang diberikan olehnya sebagai pengarah. Dia tahu mengawal keadaan di dalam set, tahap kesabaran yang amat tinggi  dan tidak menjerit-jerit semasa bekerja.

Kekuatan saya dalam pembikinan sesebuah filem adalah menulis naskahnya, lakonan dan mencetuskan ide-ide dalam penceritaan. Maka dengan penceritaan sedemikian akan memberikan saya lebih banyak fokus kepada kerja saya dan saya serahkan kerja pengarahan kepada pihak yang lebih mahir dalam bidang tersebut. Saya juga  lebih berupaya berperanan dalam melobi agen-agen filem dari merata dunia yang mana ianya sukar dilakukan oleh mana-mana penerbit filem terutama dari negara kita. Kalau perkara ini tidak dititikberatkan, bagaimana kita mampu untuk memasarkan produk kita ke luar negara?

Sekiranya filem seram “Eidolon’ ini berjaya menembusi pasaran antarabangsa tahun depan, ia akan menjadi modal untuk kami melangkah satu tahap lagi dalam menghasilkan sebuah filem cerita cinta di Amerika Syarikat yang berlatarbelakangkan kawasan pendalaman. Saya juga sudah merancang untuk menjemput pelakon wanita Britain untuk menjayakan filem ini. Ia mampu dijalankan kerana saya berani untuk melaksanakannya. Berani itulah kekuatan yang saya miliki.

Kelemahan yang saya ada dan sering berlaku adalah terlalu mempercayai orang sehinggakan kita ditikam dari belakang. Sungguhpun pemilihan tenaga kerja bukan tanggungjawab semua pihak tetapi memandangkan kita bekerja dalam satu pasukan, maka ia akan tetap memberi kesan kepada penghasilan sesebuah naskah. Selain itu, apabila kita mempunyai terlalu ramai rakan kongsi, mereka ada agenda masing-masing dan selalunya akan terpesong daripada ide asal pembikinan. Ini menjadi suatu yang amat menyedihkan.

Selain daripada tayangan di seluruh negara, kami juga dalam perancangan untuk ‘Eidolon’ dihantar ke panel penilai di kalangan festival filem dunia

Apakah perbezaan ketara dalam budaya kerja di negara kita dan di luar?

Di mana sahaja kita berada, ada pihak yang baik, jujur. Ada juga yang jahat dan mengambil kesempatan terhadap kita. Apa yang penting adalah untuk mempastikan bahawa kita bekerja dengan kumpulan yang betul. Untuk menjawab soalan anda, ia sama sahaja. Dari aspek etika dan profesionalisme, kita usah persalahkan kepada undang-undang sebuah negara itu. Ia adalah berkaitan dengan pemilihan tenaga kerja kita.

 

Dengan peredaran teknologi dan norma baharu, bagaimana anda persiapkan diri anda?

Saya percaya pendemik ini akan diselesaikan. Ia hanya perlukan masa untuk kita menyesuaikan diri. Saya akan mula menayangkan sebuah filem bermula Mei 2021. Mungkin pada waktu itu, segala kekangan yang ada berpunca daripada Covid-19 akan reda. Sekiranya tidak, ia amat berisiko.

Berkaitan dengan pelantar video atas talian, ia lebih memudahkan banyak pihak termasuklah di kalangan pembikin filem kerana kita mampu untuk mengenengahkan diri masing-masing secara global. Namun, globalisasi sedemikian juga terdedah kepada persaingan yang tiada batasan.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

The Gendang Weekly Digest #25

Opinion | The Adventure Never Ends