in ,

Reviu | Pasal Kau

Adakah komedi hasil pengarah ‘Paskal’ ini menjadi?

Tinggi harapan kami dengan filem ‘Pasal Kau!’. Mahu tidaknya, ia diarahkan oleh Adrian Teh yang telah mengarahkan filem ‘Paskal’ dan ‘Wira’ dan ia memaparkan barisan pelakon yang hampir sama dengan kedua-dua filem tersebut. Raut wajah serius abang-abang kekar digantikan dengan aksi komedi yang menjanjikan gelak ketawa dan ditayangkan di platform tersohor Netflix.

Sebagai filem komedi Melayu pertama Adrian, dengan idea asal oleh Hairul Azreen dan lakon layar oleh Nazri Annuar bersama bantuan Shamaine Othman di detik terakhir, kami rasakan filem ini adalah sebuah usaha yang menarik, tetapi boleh menjadi lebih baik jika perlaksanaannya diperkemaskan.

Jalan cerita ‘Pasal Kau!’ tidaklah luar biasa atau mindblowing, tetapi ia juga sepatutnya tidaklah terlalu membosankan. Berlatarbelakangkan sebuah hotel mewah lima bintang, Jane sukakan Aiman, rakan sekerjanya, tetapi Aiman tertarik dengan Sofia, seorang tetamu hotel. Terjadilah satu insiden di hotel tempat mereka bekerja dan ia membuatkan Aiman sedar bahawa Jane sebenarnya cukup bermakna dalam hidupnya. Bersama Aiman dan Jane, kita dihiburkan juga oleh gelagat rakan-rakan sekerja mereka dan tetamu hotel yang pelbagai kerenah.

Tetapi apa agaknya yang salah dalam kombinasi ini? Ada babak yang benar-benar lucu dan menggelikan hati, namun banyaknya membuat kami rasa canggung. Penceritaan ‘tak sampai’ dan trying too hard.

Tidak adil untuk mengatakan Adrian Teh tidak boleh membuat filem ringan, kerana beliau telah membuat filem-filem komedi berbahasa Kantonis dan Mandarin sebelum ini dan boleh tahan bagusnya.

Adakah kerana kualiti lakonan? Janna Nick, ya begitulah, tidak lebih tidak kurang. Amerul Affendi dan Namron memang kita sudah sedia maklum tidak pernah mengecewakan. Henley Hii, Theeban G, Taufiq Hanafi dan Hafizul Kamal juga sebenarnya tidak terlalu kaku. Tetapi, Hairul Azreen, ada sudah jadi? Terlalu banyak dialogkah filem ini sehingga tidak terbawa wataknya?

Kami sebenarnya rasa watak Aiman yang bodoh alang tidak memerlukan Hairul untuk menambah berat badannya dan memakai perut palsu nan aneh. Ramai orang kacak di luar sana yang tidak berapa bijak. Kakunya Hairul Azreen dalam filem ini terserlah kerana rakan-rakan gagah daripada filem ‘Paskal’ dan ‘Wira’ tidak kelihatan aneh membawa watak mereka.

 

Penampilan gadis-gadis jelita dalam ‘Pasal Kau!’ juga ada menyumbangkan kepada sedikit rasa memualkan dalam sesetengah babak. Ya, mungkin ada yang merasakan wanita dengan senjata-senjata hebat itu seksi tetapi alahai, rugi sungguh kalau setakat itu sahaja yang ada pada mereka. Adakah memang sengaja mahu ditunjukkan bahawa mereka sebenarnya bukan perancang yang baik? Atau adakah fetish wanita dan senjata ini telah mengelabui penilaian tim pembuat filem ini sehingga habis lari dari landasan skrip filem yang elok?

Kami juga letih dengan running joke kelas bahasa Inggeris yang seperti tidak ada hujungnya. Cukuplah dengan hal-hal ‘english education’ bersama Usop Wilcha dulu. Setidaknya, lawak ‘english education’ Usop Wilcha menjadi.

Kekecewaan terakhir kami tentang filem ini adalah dari segi visual. Secara menyeluruh, kualiti produksi kelihatan murah dan tidak setaraf kualiti filem-filem filem-flem Netflix yang lain. Tetapi adakah itu yang diinginkan oleh tim produksi? Supaya filem ini kelihatan seperti drama bersiri yang ditayangkan pada awal tahun 2000?

‘Pasal Kau!’ memang tontonan ringan. Sangat ringan sebenarnya. Paling sesuai untuk penonton yang mudah terhibur atau dipasang sebagai bahan tontonan sewaktu menggosok dan melipat baju.

Untuk tontonan kualiti, kami tunggu filem Adrian Teh yang seterusnya. Dan sementara menunggu kami throwback dengan filem-filem arahan beliau yang lain yang ada di Netflix.

 

Rating: 2.5

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

The Gendang Weekly Digest #24

8 Malaysian Podcasts You Should Be Listening To (English Edition)