in ,

Reviu | Aku Bukan Gila

Usaha pengarah dan produksi filem ini dalam mengetengahkan isu kesihatan mental yang sering dipandang remeh oleh masyarakat ini harus diberikan pujian…

Filem merupakan medium yang paling jelas dan bersifat peribadi apabila ianya mempamerkan cerita mengenai keajaiban minda manusia. Namun sering kali isu kesihatan minda dan mental yang dipamerkan di dalam sesebuah filem boleh menimbulkan satu stigma, menjadikan watak dengan isu mental health ini kelihatan sangat janggal dan berlainan daripada orang lain. Perkara ini membuatkan penonton atau sesiapa sahaja yang berhadapan dengan isu ini setiap hari terasa terasing dan jauh dari masyarakat.

Pada hakikatnya, semua manusia, tua ataupun muda, secara langsung atau tidak adalah terkesan dengan isu kesihatan minda ini, sama ada kita sendiri yang mengalaminya ataupun rakan, saudara atau kenalan rapat. Isu kesihatan minda ini tidak hanya melibatkan masalah mental yang serius seperti skizofrenia, tapi juga isu yang mungkin tampak kecil seperti sifat kegagalan mengawal sifat panas baran dan pergelutan harian dalam berinteraksi secara sosial dengan masyarakat. Perkara inilah yang cuba dipamerkan di dalam filem ‘Aku Bukan Gila’.

Filem ‘Aku Bukan Gila’ terbitan Pencil Pictures & Record dan arahan Rahila Ali ini merupakan sebuah filem mengenai pergolakan emosi dan kesihatan mental yang menggandingkan pelakon Beto Kusyairy dan Fasha Sandha. Ia mengisahkan perjalanan hidup gadis bernama Adra (Fasha Sandha) yang telah kematian ibunya.

Cuba untuk mencari ketenangan diri, Adra telah merantau ke sebuah pekan kecil di North Wales dan kemudian bertemu Andre (Beto Kusyairy) yang cuba untuk membantunya namun ditolak Adra. Pelbagai insiden berlaku sepanjang perkenalan mereka sehingga merungkai personaliti Adra yang sentiasa berubah-ubah dan konflik berkenaan sifat Andre yang merupakan seorang yang panas baran. Filem ini telah mula ditayang pada 6 Oktober lalu di platform penstriman WeTV iFlix. Ianya boleh ditonton secara percuma jika anda memuat turun aplikasinya di telefon pintar atau laman sesawang WeTv iFlix.

 

Filem ini bermula dengan baik di mana penonton dikenalkan dengan watak-watak utama dan penceritaan plot utama filem ini juga jelas. Dari awal filem lagi penonton jelas mengetahui bahawa watak Adra didiagnos dengan Bipolar Disorder. Ianya ditunjukkan sebagai kefahaman kepada penonton oleh babak- babak tipikal seperti sesi konsultasi bersama doktor dan pengambilan ubat dan sebagainya.

Watak Andre sebagai seorang yang mempunyai isu anger management juga berjaya ditonjolkan dengan baik. Perkara ini disokong oleh lakonan yang baik oleh semua pelakon, terutama sekali Beto Kusyairy yang mana lakonan beliau tidak pernah mengecewakan dan selalunya ‘sampai’ kepada penonton. Gandingan antara Beto dan Fasha juga boleh dikatakan berkesan namun chemistry antara kedua-duanya adakalanya nampak sedikit janggal.

Pujian juga harus diberikan kepada sinematografi filem ini yang berjaya menggunakan latar belakang perkampungan Beddgelert di North Wales dengan begitu baik sekali. Namun sepertimana yang sering berlaku kepada produksi filem tempatan yang menjalankan penggambaran di lokasi luar negara, tracking shot dan drone shot pemandangan yang keterlaluan menjadi sedikit overkill pada sesebuah filem. Perkara ini secara tidak langsung mengganggu flow penceritaan filem walaupun visual yang dipaparkan adalah sangat menarik.

Usaha pengarah dan produksi filem ‘Aku Bukan Gila’ dalam mengetengahkan isu mental health yang sering dipandang remeh oleh masyarakat ini adalah sangat membanggakan dan harus diberikan pujian. Walaupun filem ini menerapkan tema cinta sebagai nilai komersil, namun pengisian berkenaan isu kesihatan mental ini diharap dapat mengubah stigma masyarakat. Cuma sebagai sebuah filem yang menghiburkan, filem ini kurang berjaya untuk mencari keseimbangan yang diperlukan. Namun yang demikian, diharap filem ini dapat mewujudkan kesedaran kepada masyarakat di luar sana berkenaan punca dan kesan berlakunya masalah kesihatan mental.

 

Rating: 2/5

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

The Levi’s Music Project is Coming to Malaysia for the First Time

Areel Abu Bakar: “We Owe It To Ourselves To Be Original In Our Filmmaking”