“Jangan sesekali kau percaya dengan apa yang kau dengar dan nampak di dalam hutan…”
– Mak, filem ‘ROH’
Ada sesuatu yang menyeramkan tentang hutan. Apabila kita berbicara tentang hutan, ianya selalu dikaitkan dengan perkara yang gelap, terpencil dan penuh misteri. Dari kecil kita sering diingatkan oleh orang yang lebih dewasa bahawa kita harus menjaga tingkahlaku dan percakapan apabila berada di dalam hutan.
Rata-rata masyarakat di seluruh dunia percaya bahawa hutan merupakan tempat tinggalnya kuasa jahat tidak kira sama ada Iblis, penunggu atau makhluk-makhluk halus lain ciptaan Tuhan. Hutan merupakan watak utama di dalam cerita dongeng ‘Grimm’ yang sangat popular. Begitu juga dengan kisah Hutan Aokigahara yang digelar sebagai ‘Suicide Forest’. Jadi tidak hairanlah kebanyakan pembikin filem seram di serata dunia menggunakan hutan sebagai latar belakang filem mereka.
Di dalam filem ‘ROH’ terbitan Kuman Pictures, hutan dan unsur-unsur alam di dalamnya merupakan elemen yang paling penting dalam penceritaan filem ini. Ianya digunakan dengan sebaiknya untuk membantu mencorakkan tona dan ‘rasa’ filem namun digarap dengan sangat minimalis oleh pengarahnya, Emir Ezwan.
‘ROH’ menceritakan tentang seorang perempuan yang hanya dikenali sebagai Mak (Farah Ahmad) dan 2 orang anaknya iaitu Along (Mhia Farhana) dan Angah (Harith Haziq), yang merupakan sebuah keluarga yang daif yang tinggal di dalam hutan. Mereka kemudiannya didatangi seorang kanak-kanak perempuan misteri (Putri Qaseh) dan di situ bermulalah kejadian-kejadian aneh yang berlaku selepas kanak-kanak itu meramalkan sesuatu yang ngeri yang akan berlaku kepada keluarga mereka.
Yang menariknya, walaupun terdapat elemen purba pada kostum dan pemakaian pelakon dan juga pada rekaat set, namun filem ini tidak terikat kepada sesuatu zaman atau era (namun boleh dianggap cerita ini berlaku pada zaman lampau, mungkin zaman peperangan).
Secara dasarnya intipati filem ‘ROH’ sama seperti filem-filem seram yang lain yang berkisarkan tentang good vs evil. Namun yang menariknya sifat kontradiktif dan pertembungan antara Haq (kebenaran) dan Bathil (kebatilan) di dalam filem ini dikaitkan dengan persoalan kejadian manusia itu sendiri. Jelas sepanjang menghayati penceritaan filem ini, elemen tanah (manusia dan fitrahnya) dan api (jin/syaitan/kejahatan) menjadi unsur simbolik dalam pertarungan di antara kuasa baik dan jahat.
Cara penyampaian ceritanya dibantu oleh gaya pengarahan Emir Ezwan yang bermain dengan mood dan feel seram yang sangat berkesan
Perkara ini diperkuatkan lagi dengan kaitan antara kepercayaan primitif masyarakat kita tentang perkara tahyul/khurafat dan persoalan tentang kewujudan Tuhan dan kepatuhan kepada ajaran-Nya. Cara penyampaian ceritanya dibantu oleh gaya pengarahan Emir Ezwan yang bermain dengan mood dan feel seram yang sangat berkesan. Ianya tidak langsung mengganggu pacing keseluruhan filem, sebaliknya berjaya menimbulkan curiosity dan rasa ingin mendalami tentang jalan ceritanya. Nuansa dan tema filem ini termasuk revelation pada penghujung cerita memberikan kesan yang mendalam pada minda penonton (mengingatkan kepada filem seram hebat arahan Na Hong-Jin, ‘The Wailing’).
Namun mungkin disebabkan filem ‘ROH’ ini dibikin dengan bajet yang rendah dan dalam masa yang singkat (trademark filem terbitan Kuman Pictures), ianya menjadi satu limitasi kepada produksi untuk menghasilkan sebuah karya yang lebih ‘kaya’ dengan shot dan set-pieces yang lebih besar. Sesetengah babak kelihatan agak repetitif disebabkan filem ini berskala kecil namun perkara ini tidaklah begitu menganggu kepada keseluruhan penceritaan kisahnya.
Walaupun hanya melibatkan 6 orang pelakon, namun mereka yang terlibat di dalam filem ‘ROH’ ini berjaya menghidupkan watak yang digalas dengan sangat cemerlang. Farah Ahmad sebagai Mak merupakan seorang pelakon yang sangat underrated. Lakonan beliau rata-ratanya sangat baik dan di dalam filem ini sekali lagi beliau mempamerkan lakonan yang hebat. Penghayatan watak beliau sebagai seorang ibu yang tegas dan mempunyai maternal instinct yang kuat yang sentiasa diselubungi ketakutan dan kesedihan adalah sangat baik dan dapat dirasai oleh penonton.
Pasangan suami isteri Namron dan June Lojong seperti biasa tidak pernah mengecewakan dalam membawakan watak masing-masing. Namun pujian paling tinggi harus diberikan kepada ketiga-tiga pelakon kanak-kanak di dalam filem ini (terutama sekali Mhia Farhana) yang berjaya ‘memandu’ keseluruhan filem ini ke satu tahap yang lain. Lakonan mereka yang terkawal dengan lontaran dialog dan ekspresi wajah yang bersahaja menjadikan watak yang dibawa sangat believable dan ‘sampai’ kepada penonton. Diharap ketiga-tiga pelakon ini dapat kekal cemerlang dan dapat berkembang menjadi pelakon-pelakon hebat tanahair pada suatu masa nanti.
Penonton dapat merasai setiap keriuk bunyi kaki memijak lantai rumah dan setiap bunyi unggas di hutan
Seperkara lagi yang harus diberikan pujian pada filem ini adalah kecemerlangan dari aspek teknikal yang menjadi pemacu bagi kekuatan filem ini. Adunan muzik dan bunyi oleh Reinchez Ng dan Fauzan Aziman apabila digabungkan dengan sinematografi oleh Saifuddin Musa telah berjaya menimbulkan suatu estetika visual dan bunyi yang sangat hebat. Penonton dapat merasai setiap keriuk bunyi kaki memijak lantai rumah dan setiap bunyi unggas di hutan. Muziknya walaupun subtle tapi mempunyai bunyian ambient yang sangat atmospheric.
Perkara ini disulam baik dengan visual memukau yang membawa penonton ‘masuk’ ke dalam hutan yang gelap dengan penataan cahaya yang minima yang membantu menimbulkan mood seram sepanjang menonton filem ini. Efek special makeup oleh Ella Sandera juga turut membantu dalam perkara ini, walaupun ianya tidak begitu disedari pada zahirnya (kulit pada tangan, kesan luka dan darah, penuaan wajah pelakon dan sebagainya), tetapi hasilnya sangat berkesan.
Berbekalkan dengan cerita yang mantap, kualiti produksi yang bertaraf antarabangsa dan lakonan hebat, filem ‘ROH’ sewajarnya harus ditonton di skrin besar di panggung wayang. Usaha untuk menghasilkan sesebuah karya yang low-budget tapi berkualiti tinggi ini harus diberikan sokongan. Namun perlu juga diketahui bahawa ‘ROH’ bukanlah sebuah filem seram yang tipikal dan komersil.
Permainan seramnya tidak terhad kepada hantu atau jembalang sahaja namun ianya hadir daripada ketakutan manusia yang hidup di dalam isolasi, terperangkap di dalam misteri alam tanpa mengetahui punca dan akibat sesuatu tindakan yang diambil. Seumpama misteri hutan dan kegelapannya, kadangkala perkara ini lebih menyeramkan.
Rating : 4/5
Comments
Loading…