in ,

Tanya Esma: Apabila Watak Tidak Sesuai Dengan Jiwa Seseorang Aktor, Apa Solusinya?

Sekiranya seorang aktor menolak tawaran hanya kerana watak tidak mengikut citarasanya, maka beliau belum bersedia menjadi seorang aktor sepenuh masa

Soalan:

Saya lebih minat utk berlakon watak serius, tetapi saya digalakkan utk mencuba karektor komedi. Masalahnya saya tidak begitu yakin. Apa nasihat Abg Esma?

Haffiz N. via email

 

Jawapan:

Pelakon, atau dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka disebut sebagai ‘Aktor’, didefinisikan sebagai perlaku yang berperanan membawa watak dalam pementasan cerita di dalam apa sahaja medium komunikasi sama ada filem, television, teater mahupun di media sosial.

Seseorang aktor itu memberikan khidmat atau servis bakat lakonan mereka kepada keperluan dalam sesuatu pembikinan penceritaan. Ianya merangkumi proses cara pembuatan, memahami perilaku yang diharapkan dan dikaitkan dengan perwatakan seseorang yang lain.

Lakonan mengambil pendekatan rujukan kepada keperibadian manusia sebagai kaedah atau method.

Menjawab soalan di atas , sekiranya keperluan penceritaan itu memerlukan watak yang diilustrasikan oleh seorang pengarah beranggapan yang saudara diperlukan untuk melakonkan watak komedi, dan pengarah percaya yang saudara mampu untuk menzahirkan watak seperti yang dibayangkan olehnya, maka ianya merupakan satu tugasan atau cabaran sebagai seorang aktor.

Namun sekiranya saudara menolak hanya kerana tidak menyukai watak atau memilih watak mengikut citarasa saudara, maka saudara belum bersedia menjadi seorang aktor sepenuh masa. Lazimnya sesuatu watak yang dibawa oleh seseorang aktor ianya memerlukan satu tempoh keyakinan atau ‘make believe’ di atas watak yang dicuba dizahirkan.

Namun sekiranya watak itu dizahirkan atas keperibadian sebenar saudara semata-mata ianya belum menjadikan anda seorang aktor. Seorang aktor profesional perlu sentiasa menerima cabaran yang diberikan walaupun watak yang diberikan bukan watak kegemaran aktor tersebut.

Dalam erti kata lain, lakonan memerlukan latihan yang kerap atau dilakukan watak yang sama berkali-kali sehingga ianya menerbitkan karisma kepada seseorang aktor itu. Dalam konteks ini, aktor itu dirujuk kepada teraju utama atau pelakon pembantu dalam penerbitan televisyen.

Apabila watak itu berjaya dilakonkan oleh aktor tersebut sehingga ianya meninggalkan kesan kepada penonton, lazimnya aktor itu akan diberikan watak yang sama walaupun di bawah produksi yang berlainan dalam satu tempoh yang panjang.

Setiap kali ada pemilihan watak yang hampir sama dengan watak yang saudara zahirkan itu, yang mana telah terbukti anda zahirkan dengan jayanya, saudara akan menjadi pilihan utama untuk dipilih dalam sesi pemilihan pelakon produksi tersebut.

Proses ini akan terhenti tersendiri apabila penonton sudah jemu dengan watak yang dizahirkan oleh seseorang aktor itu dan ketika ini seorang aktor akan menempuh satu tempoh soul searching atau pencarian jiwa di mana aktor ini akan berehat atau bercuti sebelum  kembali menerima tugasan dan cabaran yang baru dalam kerjaya seni seseorang aktor itu.

 

Jika anda ada sebarang persoalan untuk Esma Daniel mengenai bidang lakonan atau yang berkaitan industri ini, sila emel ke [email protected]

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

The Gendang Weekly Digest #16

The Gendang Weekly Digest #17