Foto oleh Rafeeq Mustapha
in

Menyingkap Permulaan Bersejarah Anugerah Juara Lagu

Menjelang #AJL35 pada 2021, Gendang mempersembahkan siri cerita khas meraikan anugerah berprestij ini…

Mana mungkin ribuan peminat muzik Malaysia yang menonton televisyen pada saat itu mampu melupakan malam ‘keramat’ 30 Disember 1986 yang sekaligus mencipta sejarah muzik tanah air.

Saya sendiri tidak terkecuali, biarpun di kala itu umur saya terlalu muda di usia lapan tahun, namun saya masih ingat dengan jelas kelibat penyanyi legenda Francissca Peter di atas pentas, kelihatan manis berbaju kurung moden berwarna putih dengan calitan rona biru muda dan pastel sambil mendendangkan lagu ‘Sekadar Di Pinggiran’.

Suara merdunya memukau semua yang menonton dari rumah masing-masing dan juga mereka yang bertuah dapat menyaksikannya secara langsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. Pada malam itu, lagu tersebut yang dicipta oleh komposer tersohor Manan Ngah bersama dengan penulis lirik Lukhman S. dianugerahkan sebagai juara Pertandingan Akhir Muzik Muzik, Juara Lagu ‘86.

Tanpa disedari ramai, kemenangan pada malam itu juga merupakan simbol keunikan identiti Malaysia di mana rakyatnya tidak pernah menjadikan bangsa dan agama sebagai penghalang untuk mengangkat dan menghargai bakat selayaknya. Francissca, seorang penyanyi berdarah kacukan Cina dan India menyanyikan lagu berbahasa Melayu sambil memakai pakaian tradisional Melayu untuk sebuah pertandingan muzik tempatan berskala besar buat julung-julung kalinya, menjadikan detik itu lebih bermakna bagi semua yang terbabit pada malam tersebut.

Malah pada malam itu juga, sebuah lagi lagu nyanyian Fran yang turut dicipta oleh Manan Ngah dengan lirik nukilan penulis tersohor Habsah Hassan berjudul ‘Aku Kehilanganmu’ digelar Naib Juara manakala lagu ‘Sampaikan Salam Cintaku’ dendangan kumpulan Alleycats ciptaan penuh A.Ali meraih tempat ketiga. Sekali lagi, keindahan masyarakat majmuk Malaysia terserlah kala ketiga-tiga vokalis untuk lagu-lagu hebat ini merupakan rakyat Malaysia yang bukan berbangsa Melayu namun dapat mendendangkan lagu dalam bahasa kebangsaan dengan begitu baik dan meyakinkan.

Kemenangan Fran pada malam itu juga merupakan simbol keunikan identiti Malaysia di mana rakyatnya tidak pernah menjadikan bangsa dan agama sebagai penghalang untuk mengangkat dan menghargai bakat selayaknya

Ya, lama sebelum dijenamakan semula sebagai ‘Anugerah Juara Lagu’ atau AJL seperti yang dikenali sekarang, pertandingan akhir Muzik Muzik atau Juara Lagu sememangnya sinonim dalam mengiktiraf bakat-bakat seni muzik Malaysia (tanpa mengira agama dan bangsa).

Acara kemuncak tersebut lahir daripada rancangan Muzik Muzik, sebuah program hiburan yang menampilkan lagu-lagu Melayu paling popular di Malaysia setiap minggu. Program tersebut diperkenalkan oleh stesen televisyen swasta pertama Malaysia iaitu TV3 dan diilhamkan oleh Datuk Ahmad Merican yang juga bekas Pengurus Rancangan ketika itu. Secara tidak langsung Muzik Muzik juga telah membentuk arus muzik pop tempatan dan memberi peluang kepada ramai penyanyi, pencipta lagu, penulis lirik dan ratusan lagi pemuzik untuk menampilkan kehebatan bakat serta karya-karya mereka.

Malah melalui Pertandingan Akhir Muzik Muzik yang berlangsung saban tahun sejak 1986, arena muzik tempatan kemudian mempunyai rujukan dalam mengenalpasti serta mengkaji evolusi muzik Malaysia yang sentiasa bergerak ubah.

Foto Oleh Rafeeq Mustapha

Di samping lagu serta para pemuzik dan pengkarya yang terbabit di depan layar TV untuk program gilang-gemilang tersebut, Pertandingan Akhir Muzik Muzik – Juara Lagu turut memberi peluang kepada beberapa penggiat seni lain untuk mengetengahkan kebolehan serta kreativiti mereka. Ini termasuklah para personaliti yang dipilih untuk mengendalikan program tersebut sebagai pengacara.

Pasangan pertama yang digandingkan pada malam 30 Disember 1986, iaitu Habibah Yusof dan Zainal Abas menjadi pembuka ruangan untuk puluhan pengacara selepas mereka yang diberi tanggungjawab untuk memegang peranan sebagai hos rancangan. Apatah lagi pada hari ini, hanya mereka yang terpilih sahaja akan dapat mengacarakan Anugerah Juara Lagu yang dianggap sebagai rancangan muzik paling gah dan berprestij di Malaysia. Antara nama-nama besar yang pernah mengacarakan AJL termasuklah Noorkumalasari, ND Lala, Charmaine Augustine, Azwan Ali, Melissa Saila, Fauziah Ahmad Daud, Aznil Nawawi, Salih Yaacob, Najip Ali, Sarimah Ibrahim, Cheryl Samad, dan ramai lagi.

Tidak dilupakan juga, sudah tentulah para pekerja belakang tabir yang diterajui oleh ramai bekas penerbit dan pengurus pentas yang bertungkus-lumus dalam menjayakan acara anugerah ini setiap tahun.

Kini, AJL bakal meraikan ulangtahunnya yang ke-35 pada tahun hadapan dan sepanjang 34 tahun yang lampau, program yang menjadi ikutan ramai ini menyimpan pelbagai kenangan buat semua yang pernah terlibat dan juga menonton.

Antara perubahan paling ketara yang pernah dilalui AJL sudah tentulah format pertandingannya yang terpaksa beradaptasi mengikut senario serta lanskap muzik tempatan. Rancangan yang pada awal penerbitannya hanya mengiktiraf tiga lagu terbaik setiap tahun kemudian menambah beberapa penghargaan lain seperti persembahan dan juga lirik terbaik.

Namun format ini diganti dengan format baru di acara Juara Lagu yang ke-7 pada tahun 1992 gara-gara penghasilan karya muzik tempatan yang dianggap semakin versatil dan bervariasi. Pada masa yang sama kebanyakan lagu yang layak ke peringkat akhir berupa lagu-lagu yang digelar ‘jiwang’ atau ‘tangkap leleh’ dengan irama pop Melayu serta nyanyian yang mendayu-dayu.

“Pendek kata lagu-lagunya membuat saya mengantuk kalau dimainkan dan tiada semangat untuk mendengar. Saat itu juga, lagu pop kontemporari yang berentak dangdut, tradisional dan etnik mula membanjiri corong radio dan kelihatan agak rumit untuk mempertandingkan lagu-lagu dengan genre muzik yang berbeza dalam satu pertandingan. Lantas, sebuah konsep baru diwujudkan dengan mengumpulkan lagu mengikut tiga kategori khas iaitu Pop Kreatif, Rock dan juga Irama Malaysia,” ujar Encik Azhar Borhan bekas Pengurus Besar Kumpulan Penerbitan dan Operasi Primeworks Studios.

Kini, AJL bakal meraikan ulangtahunnya yang ke-35 pada tahun hadapan dan sepanjang 34 tahun yang lampau, program yang menjadi ikutan ramai ini menyimpan pelbagai kenangan buat semua yang pernah terlibat dan juga menonton

Menurut Encik Azhar Muzik Muzik pada awalnya diwujudkan untuk membantu meningkatkan prestasi industri muzik tempatan dengan mempertandingkan pelbagai lagu yang hebat dan kreatif. Ditambah pula dengan acara Juara Lagu yang sentiasa menjadi tumpuan peminat muzik tanah air saban tahun, semua pengkarya ingin menjadi sebahagian daripada acara itu. Namun lama- kelamaan, status Juara Lagu yang kemudian dijenamakan semula sebagai Anugerah Juara Lagu meningkat dengan mendadak. Daripada sebuah rancangan ciptaan sebuah stesen TV tempatan untuk menyokong arena muzik Malaysia, ia kemudian menjadi seperti sebuah medan pengiktirafan para pengkarya.

“Di awal kelahiran Muzik Muzik, kesemua lagu yang masuk ke peringkat akhir dipilih oleh para peminat. Dan di zaman sebelum adanya internet, terlihat sebuah trend di mana peminat umum hanya akan memilih lagu-lagu yang mereka ingati, dan biasanya baru tercalon beberapa bulan sebelum pengumuman lagu-lagu yang berjaya ke peringkat akhir.

Setelah melihat trend tersebut, pihak TV3 kemudian menggunakan perkhidmatan para pekerja profesional industri muzik untuk menjadi juri bersama dan menetapkan lagu-lagu yang layak ke AJL. Ini telah menjadikan AJL sebagai sebuah badan pengiktiraf karya muzik Malaysia terbaik secara tidak langsung, tanpa dijangka oleh pihak TV3 sendiri, di awal penerbitan Muzik Muzik,” tambah Encik Azhar lagi.

Biarpun ia mewakili, sebahagian besar suara dan warna muzik tempatan, AJL mungkin bukan wadah buat semua genre muzik yang ada di Malaysia kerana masih terdapat banyak gerakan muzik lain yang sentiasa wujud mengikut generasi terkini dan tidak ada perwakilan di pentas tersebut. Walau bagaimanapun, AJL telah berjaya menampilkan beberapa lagu dengan ajnas genre berlainan dari dunia Indie dan seumpamanya.

Foto oleh Irwandy Mazwir / Wikimedia Commons

Pada waktu yang sama AJL juga selepas beberapa tahun kembali ke format asal dalam mengiktiraf tiga lagu terbaik dan menghentikan pertandingan mengikut kategori gara-gara terlahir sebuah lagi trend yang agak negatif. Trend itu membuktikan bahawa salah satu kategori iaitu Irama Malaysia yang kemudian ditukar ke Etnik Kreatif menjadi ruang untuk pengkarya dalam genre tersebut mencari jalan mudah untuk terpilih sebagai peserta akhir.

“Ini terjadi kerana lagu dalam kategori tersebut tidak banyak diterbitkan. Jadi pilihannya sangat sedikit, lantas ramai pencipta lagu kemudian menghasilkan lagu dalam kategori tersebut dengan kualiti yang tidak sehebat lagu-lagu dari dua kategori lain, semata-mata untuk layak bertanding buat pertandingan itu sahaja. Ini jelas tidak baik untuk industri muzik tempatan, dan gara-gara itu pihak penerbitan mengambil keputusan untuk menamatkan pertandingan mengikut tiga kategori,” ujar Ahmad Shaifullizam Arshad (yang lebih mesra dengan panggilan Gbam), salah seorang bekas penerbit AJL sebelum ini.

Antara lagu-lagu kategori Irama Malaysia atau Etnik Kreatif yang pernah mencipta sejarah dan berbekas di hati peminat muzik termasuklah ‘Cindai’ dendangan Siti Nurhaliza, ‘Yang Remeh Temeh’ nyanyian Pak Pandir, ‘Dikir Puteri’ oleh Noraniza Idris dan banyak lagi.

Selain karya muzik yang menjadi fokus AJL, penerbitannya juga turut menjadi bahan bualan dan tumpuan para penonton. Setelah 34 kali bersiaran secara langsung di beberapa tempat yang gah, pentas yang dijadikan ruang pertandingan acara ini turut melalui pelbagai transformasi. Dari medan persembahan polos berlatarbelakangkan lukisan dan penari, AJL juga sering menang dalam persembahannya berbanding mana-mana acara TV lain di Malaysia.

Hanya di AJL dapat penonton menyaksikan persembahan ala ‘Cirque du Soleil’ dengan para akrobat bergantungan dengan kain dari atas panggung sambil diiringi muzik kontemporari. Di AJL jugalah sebuah piano boleh dinyalakan api, penyanyi menari seolah berterbangan, dan tidak lama dahulu menurunkan hujan di atas pentas! Pendek kata, ia telah memberi peluang untuk para pekerja penerbitan, bermain dengan kreativiti dan bereksperimentasi dengan sumber-sumber yang ada baik di Pusat Dagangan Dunia Putra sehinggalah ke Stadium Malawati Shah Alam dan kini di Stadium Bukit Jalil.

Foto oleh Rafeeq Mustapha

Dalam mengantisipasi AJL ke-35 yang bakal disiarkan tahun hadapan, kami juga akan mengimbau karya-karya yang pernah dipertandingkan, pengacara yang pernah digandingkan, persembahan yang pernah ditampilkan serta bermacam-macam lagi saat-saat menarik dan bersejarah yang pernah ada sepanjang penerbitan rancangan anugerah berprestij ini. Pengenalan berupa mukadimah mudah ini bakal disusuli denag lebih banyak kisah yang pasti akan meninggalkan kesan buat pengikut setia Anugerah Juara Lagu dari yang pertama hinggalah yang terkini.

Jadi pastikan anda terus memantau ruangan ini…

 

Tonton semula Juara Lagu 1986 yang penuh nostalgia ini:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Review | Last Tang Standing (Lauren Ho)

10 Ol’ Skool Magazines You Probably Never Knew Existed