in ,

Reviu | Surat-Surat Untuk Kaherah (Maisarah Mansor)

Papar Realisme Masyarakat Malaysia

Oleh Asyraff Jamin & Faisal Mustaffa

Novel ‘Surat-Surat Untuk Kaherah’ berkisar tentang kisah kehidupan seorang kanak-kanak perempuan bernama Hanim (aku) yang sedang meniti proses menjadi dewasa. Pelbagai pengalaman, pengajaran, cabaran dan juga dugaan telah dihadapinya sepanjang proses mencapai kedewasaan. Dengan menggunakan dekad 90-an sehingga tahun 2013 sebagai latar penceritaan, sudah tentunya novel ini menarik untuk dikupas. Kita akan dapat melihat kehidupan masyarakat pada zaman tersebut serta melihat olahan pemikiran penulis menerusi watak-watak yang dimainkannya.

Sebagai sebuah novel yang menggunakan pendekatan realisme dalam penceritaanya, pastinya setiap pengalaman, pengajaran, cabaran dan dugaan yang dilalui oleh Hanim dan watak-watak lain dalam novel ini digambarkan dengan jelas. Justeru, melalui artikel ini kita akan dapat melihat pemikiran-pemikiran realisme yang dikemukakan Maisarah Mansor (sebut, penulis) dalam novel ini. Artikel ini akan mengupas pemikiran penulis terhadap tiga aspek kemasyarakatan, iaitu sosial, pendidikan, dan ekonomi.

Daripada sudut realismenya, karya ini jelas mendukung pandangan Georg Lukacs (1978) yang menekankan tugas penulis dalam menggambarkan realiti sosial secara jujur dan selari dengan peredaran masa. Mengupas daripada aspek sosial, artikel ini mendapati wujud masalah integrasi antara kaum berlaku dalam masyarakat. Dengan menggunakan latar kehidupan kanak-kanak, masalah integrasi ini digambarkan penulis seperti;

Katanya, di sekolah rendah semua orang mengelak berkawan dengannya kerana dia anak kacukan India. Diskriminasi itu membuatkan dia berazam untuk berjaya. Biarkan dia bergelut dengan dunia buku, berkawan dengan ilmu. Menurut Madiah, ilmu sekurang-kurangnya tidak mengenal warna kulit. Ilmu berkawan dengan sesiapa sahaja. (Surat-Surat Untuk Kaherah, hlm 9)

dan;

Anne menarik kerusi menjauhi Madiah. Perkenalan kumpulan kami dimulakan dengan diskriminasi terhadap gadis India Muslim berkulit gelap itu. (Surat-Surat Untuk Kaherah, hlm 20)

 

Penulis secara jujur telah menggambarkan realiti diskriminasi dan penyisihan yang berlaku ke atas kaum India oleh masyarakat hanya disebabkan warna kulit mereka

Berlandaskan prinsip sastera kritis yang bebas, jelas sekali pemikiran yang dilontarkan penulis ini telah memberi kesedaran tentang masalah diskriminasi dan penyisihan yang wujud terhadap kaum India di negara ini. Penulis secara jujur telah menggambarkan realiti diskriminasi dan penyisihan yang berlaku ke atas kaum India oleh masyarakat hanya disebabkan warna kulit mereka. Lebih menyedihkan lagi, hal ini berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

Betapa masalah ini merupakan masalah sosial yang serius yang perlu untuk diatasi. Sekiranya daripada usia sekecil itu lagi mereka telah diasuh dengan stigma yang sebegitu, sudah tentunya akan membawa kepada masalah integrasi dan perpaduan yang lebih serius pada masa akan hadapan. Penulis dilihat sengaja mengetengahkan senario negatif ini dalam novelnya sebagai cara untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat agar melihat perkara ini sebagai suatu masalah serius untuk diatasi.

Dalam konteks masyarakat Malaysia, diskriminasi secara realitinya sememangnya dikesan berlaku terhadap masyarakat India. Artikel ini berpendapat, senario ini mungkin berlaku disebabkan oleh ciri fizikal, iaitu warna kulit mereka serta sejarah sosio-ekonomi masyarakat India semasa mereka mula-mula berhijrah ke Tanah Melayu dahulu. Masyarakat India pada asalnya dibawa British sebagai tenaga buruh untuk bekerja di ladang. Di samping itu, ada juga antara mereka yang dibawa masuk merupakan buruh tawanan dari Bengkulu, Indonesia selepas Perjanjian Inggeris-Belanda ditandatangani. Justeru, sejarah panjang mereka inilah yang telah sedikit banyak mempengaruhi penerimaan masyarakat lain terhadap mereka.

Usaha penulis ini jelas akan membantu membebaskan masyarakat India daripada terus tersisih dan didiskriminasi di samping mendukung prinsip humanis yang dibawa Georg Lukacs (1990) serta estetika realisme yang mementingkan pelahiran masyarakat tanpa penindasan (Pramoedya, 2003). Menyentuh usaha mendidik dan membangkitkan kesedaran yang dibawakan, artikel ini melihat penulis sememangnya bijak dalam menginterpretasikan prinsip realisme dalam karyanya.

Konklusinya, pemikiran penulis ini boleh dianggap sebagai suatu induksi bagi memastikan masyarakat sentiasa hidup dalam suasana yang humanis. Maka, pemikiran penulis ini dapatlah diterima sebagai sebuah wacana ke arah memperkukuhkan lagi perpaduan dalam kehidupan sosial masyarakat khususnya di Malaysia.

Pemikiran penulis ini boleh dianggap sebagai suatu induksi bagi memastikan masyarakat sentiasa hidup dalam suasana yang humanis

Mengupas daripada aspek pendidikan pula, artikel ini mendapati penulis telah menyuarakan pendapatnya agar kurikulum sekolah yang dianggapnya terhad ditambah baik. Tulisnya;

Kami duduk bersama di suatu lokasi rahsia, dan berbual mengenai dunia globalisasi. Aku tidak lagi terikat dengan silibus sekolah yang terhad. Shuhada mengajar aku matapelajaran politik, sejarah, pemikiran kritis dan penulisan kreatif.(Surat-Surat Untuk Kaherah, hlm 61)

 

Sebagai sebuah karya realis, penulis dilihat berusaha menggambarkan realiti secara jujur dan selari dengan peredaran masa (Eagleton,1976). Georg Lukacs (1990) turut senada dalam menegaskan prinsip tersebut dalam penghasilan sesebuah karya sastera dan seni. Tambah Georg Lukacs (1990) lagi, “Kebenaran dalam realiti, adalah kenyataan adanya penderitaan, keterasingan dan kecacatan”. Dalam konteks pemikiran yang disampaikan penulis ini, jelas wujud kelemahan (kecacatan) dalam sistem pendidikan sedia ada.

Maisarah Mansor sekali lagi dilihat begitu bijak dalam penggunaan latar masa yang digunakan. Dengan menggunakan latar masa 90-an, penulis dengan mudahnya dapat menggambarkan realiti perbezaan sisitem pendidikan pada zaman tersebut dengan zaman kini. Saranan penulis ini jelas selari dengan saranan Muhyiddin (yang pada ketika itu Menteri Pendidikan) dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) (2013) yang mencadangkan agar, “Sistem pendidikan kita perlu berupaya melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, mampu berfikir secara kritis dan kreatif, mempunyai kemahiran kepimpinan yang mantap dan berupaya berkomunikasi dengan berkesan di peringkat global”.

Menyedari hakikat keperluan ini, berdasarkan petikan novel di atas, penulis dilihat telah menginterpretasikan saranan Muhyddin dalam PPPM (2013) dalam ceritanya memberi penekanan tentang kepentingan matapelajaran politik, sejarah, pemikiran kritis dan juga penulisan kreatif. Melalui pendedahan kepada ilmu seperti politik, murid akan dapat membina kemahiran memimpin seperti yang diaspirasikan dalam sistem pendidikan kita. Begitu juga dengan ilmu-ilmu seperti sejarah, akan dapat memantapkan lagi pengetahuan murid terhadap perkara di sekeliling di samping dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai jati diri yang utuh.

Di samping itu, pengasahan pemikiran murid dengan perkara-perkara yang kritis dan kreatif, murid akan dapat membina dan mengembangkan kemahiran berkomunikasi, iaitu bagi membahaskan isu-isu semasa, mencari penyelesaian kepada sesuatu masalah, serta menyalurkan ilmu dan pengetahuan ke peringkat lokal mahupun global.

Daripada sudut impaknya, pemikiran penulis ini amatlah relevan dalam menjadikan sistem pendidikan Malaysia bertaraf dunia seterusnya dapat melahirkan murid dan masyarakat Malaysia yang berminda kelas pertama yang mampu mendepani cabaran dalam perkembangan dunia globalisasi pada hari ini sesuai dengan aspirasi PPPM dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Dalam pada itu, pemikiran penulis juga dilihat mampu menjadi daya tolak bagi menggerakkan masyarakat serta pihak yang berautoriti bagi mengatasi dan menambah baik kelemahan tersebut.

Oleh yang demikian, artikel ini berpendapat bahawa pemikiran penulis terhadap pendidikan di Malaysia ini sememangnya bertepatan dengan prinsip karya sastera yang menurut Georg Lukacs (1990), “Seni seharusnya mampu membebaskan manusia menuju pemenuhan diri sebagai manusia utuh.”. Jelas sekali, pemikiran yang dikemukakan ini telah menjadi daya gerak ke arah memenuhi hak masyarakat Malaysia dalam memperoleh pendidikan yang lengkap dan sempurna.

Pemikiran penulis juga dilihat mampu menjadi daya tolak bagi menggerakkan masyarakat serta pihak yang berautoriti bagi mengatasi dan menambah baik kelemahan tersebut

Setelah mengupas berkenaan sosial dan pendidikan, kini artikel ini akan mengupas pula berkaitan ekonomi yang boleh dianggap sebagai tunjang kemajuan masyarakat selain daripada dua aspek yang telah dibahaskan sebelum ini. Dalam aliran realisme itu sendiri, ekonomi dilihat sebagai “Lubuk kesempatan yang menguntungkan kelas atau golongan tertentu dan menindas kelas lain.” (Georg Lukacs, 1990). Sesuai dengan itu, artikel ini mendapati wujud masalah ketidakseimbangan ekonomi dalam kehidupanya masyarakat Malaysia yang turut dikemukakan Maisarah Mansor dalam novelnya. Tulisnya;

Seperti restoran ini, seperti perhentian bas yang lengang di hadapannya, seperti pasar raya Giant yang jarang dikunjungi orang, begitulah populasi daerah ini. Daerah kecil yang mendapat jolokan ‘Pekan Koboi’. Kerana sebelum bandar baru ini dibina, deretan kedainya masih bangunan kayu dua tingkat. Milik Cina-cina yang memonopoli kuasa niaga Tanah Melayu. Katakanlah hendak membeli apapun, hampir semuanya di pusat perniagaan Cina. Dari alat tulis, cenderamata, barang runcit, pakaian, makanan ringan dan bengkel, semua wang mengalir ke saku tebal orang Cina. Tuah pendatang di negeri orang. Jual beli yang belum dikuasai cuma makanan berat dan pemerdagangan orang. Makanan berat kerana orang Melayu dikawal syariat. Pemerdangangan orang pula diselia oleh kastam. Bukan pemerdangangan orang, cuma mengambil untung sebagai ejen pembantu rumah. Cuma produknya manusia. Modalnya jawatan dan pengangkutan untuk membawa pembantu rumah Indonesia dari Tanjung Balai ke Jeti Kukup tiga puluh minit. (Surat-Surat Untuk Kaherah, hlm 10)

Pemikiran yang dikemukakan penulis ini jelas sekali mendukung gagasan realisme yang dibawa Georg Lukacs, iaitu dilihat sebagai alat menentang dominasi ekonomi (Kurniawan, 2012). Penulis dengan jelas telah menggambarkan ketidakseimbangan ekonomi yang dilihatnya lebih dikuasai masyarakat cina terutamanya dalam sektor perniagaan termasuklah perdagangan. Menurutnya semua aktiviti jual beli telah dikuasai masyarakat cina melainkan jual beli makanan berat orang melayu yang tertakluk kepada tuntutan memakan makanan yang halal.

Daripada perspektif realisme Georg Lukacs, tindakan penulis ini jelas menggambarkannya sebagai seorang penulis yang prihatin dan mendukung gagasan realisme yang menentang dominasi ekonomi agar masyarakat dapat menikmati limpahan hasil ekonomi dengan lebih adil. Secara realitinya, ketidakseimbangan ekonomi antara kaum ini sememangnya berlaku di negara ini.

Buktinya, kerajaan Malaysia pada tahun 1970 telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan untuk memulihkan ketidakseimbangan sosioekonomi yang wujud antara kaum, antara wilayah, dan antara kawasan dalam wilayah yang sama. Pengenalan dasar ini membuktikan bahawa pihak kerajaan memandang serius dan benar-benar mahu mengatasi masalah ketidakseimbangan ekonomi dalam kalangan masyarakat Malaysia. Hal ini menjadi bukti realisme yang jelas bahawa masalah ketidakseimbangan ekonomi yang disuarakan penulis dalam novelnya ini sememangnya benar-benar berlaku dalam kehidupan masyarakat di Malaysia.

Pengkarya realisme tidak hanya digerakkan oleh persekitaran atau lingkungan sosial sahaja, sebaliknya turut berperanan menggerakkan lingkungan sosialnya

Daripada sudut impaknya, tindakan penulis membangkitkan permasalahan ketidakseimbangan ekonomi masyarakat ini boleh dilihat sebagai pusat keprihatinannya sebagai seorang pengkarya seperti yang diperkatakan Georg Lukacs (1990). Melaluinya, penulis turut dapat menarik perhatian masyarakat khususnya pembaca untuk melihat permasalahan ketidakseimbangan ekonomi ini agar bertindak mencari jalan penyelesaian untuk mengatasinya selari dengan prinsip realisme yang menurut Georg Lukas (1990), “Sastera yang sejati akan mampu membuka jalan bagi manusia untuk berkembang.”. Untuk maju, kita tidak boleh semata-mata mengharapkan pihak berkuasa khususnya kerajaan bagi mengatasi masalah ini.

Kebergantungan kepada kerajaan atau pihak berkuasa termasuklah golongan kapitalis pada perspektif Georg Lukacs (1990) hanya akan membawa kepada kehidupan yang ‘dehumanis’ (istilah Georg Lukacs), iaitu menjadikan kita sebagai lubuk kesempatan untuk mereka mendapatkan keuntungan. Oleh sebab itulah, Georg Lukacs (1990) amat menitikberatkan tradisi sastera kritis yang membebas dalam gagasan realismenya.

Justeru, sebagai masyarakat yang sentiasa memiliki potensi dan mempunyai daya, kita seharusnya turut mencari jalan, atau menggunakan kepakaran (potensi) bagi mengatasi masalah yang membelenggu masyarakat seterusnya bagi menambah baik kualiti serta memajukan taraf hidup masyarakat. Oleh yang demikian, pemikiran penulis ini jelas sekali dapat dijadikan sebagai titik tolak yang membawa kepada kesedaran masyarakat bagi mengatasi jurang ekonomi serta menambah baik taraf ekonomi sedia ada yang masih ketinggalan.

Secara keseluruhannya, novel ‘Surat-Surat’ Untuk Kaherah dapatlah disimpulkan sebagai sebuah karya realisme yang memiliki hubungan begitu harmonis dengan masyarakat Malaysia. Pemikiran yang disampaikan oleh penulisnya didapati menyentuh aspek-aspek penting yang menjadi tunjang kemajuan sesebuah masyarakat. Ini membuktikan bahawa penulisnya sememangnya peka terhadap keadaan sekelilingnya selari dengan prinsip pengkarya realisme yang ditegaskan Georg Lukacs (1990), iaitu pengkarya realisme tidak hanya digerakkan oleh persekitaran atau lingkungan sosial sahaja, sebaliknya turut berperanan menggerakkan lingkungan sosialnya.

Pemikiran yang dikemukakan oleh penulis membuktikan bahawa beliau sememangnya berusaha menggerakkan lingkungan sosialnya untuk mengatasi permasalahan yang wujud dalam masyarakat melalui karyanya. Oleh yang demikian, novel ini dapatlah diterima sebagai karya realisme yang membawa pemikiran serius yang sarat dengan pemikiran ke arah memajukan masyarakat Malaysia.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Industri Kreatif, Gastronomi & Maghribi

The Gendang Weekly Digest #13