Gambar oleh Carles Rabada / Unsplash
in , ,

Kuala Lumpur Kini Ibu Kota Buku Dunia

KLWBC 2020 membawa tema ‘KL BACA: CARING THROUGH READING’

Tanggal 23 April adalah tarikh istimewa yang disambut saban tahun oleh warga industri penerbitan di seluruh dunia. Sejak tahun 1995, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah mewartakan tarikh ini sebagai Hari Buku & Hak Cipta Dunia bagi mempromosikan pembacaan, penerbitan dan hak cipta. Tarikh ini dipilih kerana ia adalah tarikh ulang tahun kelahiran atau kematian beberapa pengarang terulung dunia termasuklah William Shakespeare.

Bertitik tolak daripada penganjuran perdananya yang mendapat sambutan menggalakkan, UNESCO kemudiannya telah memperkenalkan konsep Ibu Kota Buku Dunia – dengan memilih Madrid, Sepanyol sebagai lokasi pertamanya pada tahun 2001.

Sehingga tahun ini – Ibu Kota Buku Dunia telah bertukar tangan kepada lebih 19 kota dunia termasuklah Incheon, Korea Selatan (2015); Wroclaw, Poland (2016); Conakry, Republic of Guinea (2017); Athens, Greece (2018); dan Sharjah, UAE (2019).

Konsep Ibu Kota Buku Dunia atau World Book Capital (WBC) yang digagaskan oleh UNESCO merupakan antara inisiatif untuk mengeratkan jalinan kerjasama antara kota-kota dunia dalam sektor kreatif.

Selain WBC, UNESCO turut pernah memperkenalkan inisiatif Creative Cities Network sebagai satu wadah menjalinkan kerjasama antara bandar-bandar yang telah mengenal-pasti sektor kreatif sebagai salah satu faktor penting dalam pembangunan bandar yang mampan. Antara cabangnya adalah City of Literature, City of Craft & Folk Arts, City of Film, City of Music, City of Media Arts, dan City of Gastronomy.

PEMILIHAN KUALA LUMPUR SEBAGAI IBU KOTA BUKU DUNIA 2020

Bagi tahun 2020, Malaysia amat berbangga kerana ibu kota negara kita – Kuala Lumpur telah terpilih sebagai Ibu Kota Buku Dunia yang ke-20. Hasrat pembidaan yang telah dimulakan sejak tahun 2016, dengan perancangan rapi oleh pasukan pembidaan dari Malaysia yang disertai wakil antaranya daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) dan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), akhirnya telah berjaya menambat hati Jawatankuasa Pemilihan WBC dengan mengetepikan pencalonan dari Sepanyol, China dan Rusia.

Dengan tema ‘KL BACA: Caring through Reading’ – Kuala Lumpur telah membentangkan sebuah cadangan penganjuran yang memberikan penekanan kepada aspek memupuk budaya pembacaan sebagai wadah untuk pembangunan pendidikan menyeluruh, sebuah masyarakat yang menjadikan ilmu sebagai teras dan akses bahan bacaan yang lebih mudah kepada semua rakyat.

Penantian Kuala Lumpur selama hampir setahun lebih untuk menganjurkan WBC 2020 setelah menerima khabar gembira dinobatkan sebagai Ibu Kota Buku Dunia pada September 2018, sayangnya telah terpalit dengan merebaknya wabak COVID19 yang menyaksikan seluruh negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan.

Terdapat beratus aktiviti yang dirancang termasuklah Festival WBC yang sepatutnya akan diakhiri dengan acara kemuncak besar-besaran di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur iaitu penyerahan tugas Ibu Kota Buku Dunia daripada Sharjah, UAE pada 23 April lalu terpaksa dilakukan secara maya sahaja. Begitulah new normal atau kelaziman baharu yang harus dibiasakan dalam keadaan pandemik terkini.

KLWBC akhirnya dilancarkan secara maya di dalam talian dengan sebuah video dan dipancarkan ke semua saluran media sosial rasminya. Ini termasuklah rakaman ucapan daripada Mr Ian Denison, Koordinator Program Ibu Kota Buku Dunia UNESCO; Dato’ Nor Hisham bin A Dahlan, Datuk Bandar Kuala Lumpur. Ia seterusnya disusuli dengan persembahan Datuk Ramli Sarip yang menyanyikan lagu tema rasmi KLWBC ciptaannya sepenuhnya berjudul ‘Surat Cinta Kuala Lumpur’, dituruti rakaman deklamasi puisi oleh penyair tersohor Zaen Kasturi dan penyair muda Jack Malik.

Pemilihan Kuala Lumpur bukanlah bermakna ini adalah sebuah penamat kepada agenda memperkasakan budaya pembacaan di kalangan rakyat. Harus diingat, pemilihan penganjur WBC bukanlah semata-mata suatu pengiktirafan terhadap taraf budaya perbukuan di sesuatu tempat, tetapi sebaliknya ia adalah suatu kempen untuk menggalakkan lagi budaya tersebut.

HIKMAH DI SEBALIK MUSIBAH

Apakah maknanya menjadi tuan rumah Ibu Kota Buku Dunia dalam keadaan sekarang? Ternyata musibah yang datang, membawa bersamanya hikmah. Membudayakan buku dalam kehidupan tidak semestinya hanya dengan penganjuran acara dan perhimpunan semata-mata. Itu hanyalah sebuah sisipan kecil dari objektif yang lebih besar. Ia bermula dengan diri kita – mengangkat sebuah buku dan menikmati kandungannya – selembar demi selembar.

Seharusnya, apa yang berlaku pada hari ini menjadikan kita sedar bahawa betapa pentingnya buku dalam kehidupan kita semua. Ketika hidup di dalam kurungan di rumah, membaca buku dapat membawa fikiran kita bebas melayang dan mengembara ke seluruh pelusuk dunia. Membaca itu memberikan ketenangan, pengalaman, dan hiburan.

Kerana itu juga, sejak bermulanya PKP di Malaysia, warga maya tempatan telah mewujudkan sebuah tanda pagar iaitu #DudukRumahBacaBuku bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat untuk menggunakan kesempatan berada di rumah untuk membaca. Tidak ada lagi alasan tiada masa untuk mengatakan tidak kepada buku.

Bagaimana pula dengan anda? Apakah buku yang sedang anda baca? Membaca artikel ini sudah bagus, tetapi apa kata selepas ini luangkan masa untuk membaca buku tempatan dan kongsikan pengalamannya dengan rakan-rakan anda.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

The Gendang Weekly Digest #11

8 Malaysian Gems to Watch on Vimeo