in ,

Tanya Esma: Apakah Persediaan Terbaik untuk Menghadapi Ujibakat?

Baca 4 tip berharga ini sebelum anda ke ujibakat seterusnya…

Soalan:

Saya pernah menghadiri ujibakat untuk sebuah drama TV. Tetapi saya diberitahu yang saya perlu lebih bersedia. Apakah nasihat Abang Esma untuk saya lebih bersedia menghadapi ujibakat pada masa akan datang?

Auni Mokhtar via email

 

Jawapan:

Ujibakat merupakan salah satu proses pra-produksi sesebuah penerbitan.

Sesi ujibakat lazimnya dilakukan untuk filem, TV, teater dan juga iklan TV. Dalam konteks penulisan ini, yang dimaksudkan ialah ujibakat bagi drama TV (dan boleh digunapakai untuk filem juga).

Ujibakat adalah penting untuk memberi maklumat kepada pengarah serta penerbit untuk mereka meletakkan pelakon dalam peranan yang terbaik daripada apa yang dibayangkan oleh seseorang pengarah. Setiap pengarah mempunyai visi unik tentang visual mereka dan bagi pengarah tiada dua yang akan sama! Hanya seorang pelakon sahaja yang akan dipilh untuk melakonkan watak ciptaan mereka daripada semua yang menghadiri ujibakat, atau pemilihan pelakon juga boleh dibuat secara terus.

Pengarah akan mencari ciri-ciri yang dapat membantu bagi memenuhi visi mereka dan anda tidak akan tahu akan visi tersebut sehingga produksi itu dapat disiapkan. Oleh itu, adalah penting untuk anda memberikan fokus kepada kredibiliti yang ada pada diri anda untuk memberikan yang terbaik tanpa mengira apakah hasil dari sesi ujibakat yang anda bakal hadiri.

Sesi ujibakat lazimnya akan mempunyai penilai iaitu juri ujibakat yang terdiri daripada beberapa orang tenaga produksi, dan adakalanya pengarah tidak ada bersama dengan mereka.

Anda juga mungkin seorang yang dikenali atau popular. Namun begitu, anda tidak boleh mengharapkan penilai ujibakat akan mengenali diri anda. Penting untuk anda membawa bersama profil lengkap terkini mengenai diri anda, dan pastikan penampilan anda kemas serta menepati masa yang telah ditetapkan.

Seterusnya, tumpukan kepada 4 perkara berikut:

1. Keyakinan diri

Ianya nampak mudah tetapi ia memerlukan amalan serta praktis untuk memasuki ruang ujibakat dengan keyakinan diri dan berlangkah masuk dengan tertib. Anda tidak akan mendapat simpati jika anda gugup, tidak berasa sihat, atau mengalami hari yang tidak baik. Latihkan diri anda dengan postur dan bahasa badan yang baik sebelum anda memasuki ruang ujibakat. Sudah pasti senyuman dan aura positif yang anda bawa akan meninggalkan kesan kepada penilai ujibakat.

2. Keperibadian

Sentiasa berikan tindakbalas yang baik ketika sesi perbualan. Jangan hanya menjawab sepatah dua kata sahaja. Bertanyakan soalan sekiranya perlu. Industri ini sedang mencari pelakon kreatif dan sentiasa peka dengan persekitaran semasa.

3. Berinteraksi

Cuba fahamkan dialog atau suasana babak yang diberikan terlebih dahulu. Jika anda dapat menghafal atau sekurang-kurangnya memahami keperluan lakonan mengikut babak yang diberikan, ia merupakan satu kelebihan. Ketika melakukan aksi lakonan, pastikan ada hubungan mata di antara anda dan para penilai. Memahami  dialog itu penting, namun membuat hubungan mata dengan para penilai akan menjadikan aksi lakonan anda semulajadi dan dipercayai. Tidak mengapa jika anda memegang skrip sepanjang ujjbakat itu berlangsung.

4.Karakter

Sekiranya pembantu ujibakat menerangkan ciri-ciri watak yang diberikan kepada anda, gunakan sebaik mungkin untuk mendapatkan gambaran watak seperti diharapkan oleh para penilai ujibakat. Jika pada ketika itu anda tidak dapat membayangkan dari pemahaman anda mengenai watak itu, cara yang paling cepat ialah dengan merujuk watak yang hampir sama yang pernah dilihat di kaca TV/ filem, ataupun dari pengalaman anda sendiri.

 

Lakonan yang baik memerlukan banyak maklumat atau keterangan mengenai sesuatu watak yang diberikan. Maklumat akan digunakan untuk anda berlatih bagi menzahirkan watak yang cuba digambarkan. Namun begitu, ada ramai pelakon profesional atau yang dikenali, yang tidak berjaya dalam sesi ujibakat.

Walaupun semua persiapan telah anda lakukan untuk sesuatu ujibakat itu, ianya belum dapat menjanjikan anda akan berjaya. Itulah hakikatnya. Tetapi, sekiranya anda benar-benar berminat untuk menjadikan lakonan sebagai kerjaya, anda tidak boleh kenal erti putus asa. Lebih banyak sesi ujibakat anda hadiri, ianya akan memahirkan anda dengan pengalaman yang anda lalui. Perlu diingatkan lakonan memerlukan latihan yang kerap dan tidak hanya bersandar kepada teori semata-mata.

Semoga Berjaya. Insyallah.

 

Jika anda ada sebarang persoalan untuk Esma Daniel mengenai bidang lakonan atau yang berkaitan industri ini, sila emel ke [email protected]

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

The Gendang Weekly Digest #9

7 Malaysian Movies on iflix You Must Watch