in ,

Reviu Retro | Salina (A. Samad Said, 1961)

Sebuah Refleksi Pilu Masyarakat Melayu Selepas Perang Dunia Ke-2

“Salina dipersembahkan oleh penulisnya dengan cara yang serba moden. Ia mengemukakan persoalan-persoalan baru dan sikap yang berterus terang untuk membongkar latar keburukan yang tersembunyi dalam masyarakat pekan-pekan besar …. ”  – Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka 1987

 

‘SALINA’ merupakan judul buku yang sudah lama saya simpan di dalam hati untuk membacanya. Mungkin hasrat ini muncul dari kekecohan dunia kesusasteraan itu sendiri. Kekecohan dunia sastera di Malaysia ini, pada fikiran saya, cuma hangat di zaman 60an, 70an dan 80an (dan mungkin sebahagian permulaan 90an). Kemudiannya ianya dimakan oleh arus moden Internet yang berleluasa di kalangan anak-anak muda di mana minat membaca buku secara konvensional hilang ditelan zaman — khususnya novel Bahasa Melayu.

Sebagai langkah untuk menuaikan semangat kesusasteraan Melayu itu semula di dalam benak jiwa saya, saya telah memilih ‘Salina’. ‘Salina’ yang ditulis oleh Sasterawan Negara, A. Samad Said, seorang penulis kegemaran saya. Sebenarnya, secara jujur, saya bukannya pembaca buku Bahasa Melayu yang kerap. Kalau hendak diperbincangkan hal A. Samad Said, sebelum ini saya hanya pernah membaca dua buku beliau, ‘Langit Petang’ dan ‘Al-Amin’ dan juga sajak beliau yang dibuat lagu oleh Kopratasa, ‘Tetamu Senja’.

Kononnya ‘Salina’ sudah diterjemah ke dalam 38 bahasa, saya pun tidak pasti. Ini menarik perhatian saya akan apa gempaknya penulisan A. Samad Said ini? Jenuh saya ke kedai-kedai buku sekeliling Kuala Lumpur dan Selangor namun tak dijumpai juga buku ini. Kononnya Dewan Bahasa dan Pustaka sudah berhenti percetakan buku ini kerana permintaan yang rendah. Kalau buku ini tersangatlah gempak untuk waktunya, mengapa pula tidak dicetak lagi untuk kegunaan akademik universiti sehabis kurang pun?

Di dalam kehampaan itu, akhirnya terjumpa kegembiraan kerana pada tahun 2014 percetakan baru telah diadakan tetapi di dalam Bahasa Inggeris. Telah saya beli satu naskah dan membacanya. Agak ganjil jika mahu dimanifestasikan idea-idea A. Samad Said di dalam Bahasa Inggeris kerana nilai kesusasteraan Melayunya hilang. Pada satu petang 2014 yang indah, di pesta buku ‘Kolumpo Kita Punya’ di Dataran Merdeka, ada pula buku Salina second hand di dalam Bahasa Melayu yang dijual. Maka saya beli. Maka saya baca.

Gaya bahasanya merupakan satu penulisan kontemporari untuk zamannya iaitu 60an di Tanah Melayu dan Singapura. Jika tidak dikontekskan penilaian ini mengikut zaman yang diterbitkan, mungkin pembaca-pembaca muda tidak dapat merasakan keindahan buku ini kerana bahasanya masih boleh dianggap lama dan tidak moden.

Apabila dinilai mengikut zamannya, ada pelbagai aspek yang membolehkan ‘Salina’ dikategorikan sebagai penulisan kontemporari – (1) Gaya bahasa yang bersahaja untuk mewujudkan suasana realiti perbualan masyarakat terutamanya masyarakat Melayu di Singapura. (2) Pembinaan plot cerita yang dramatik yang melibatkan pembaca menusuk ke dalam karakter-karakter di dalam cerita ini dengan penimbulan rasa ingin tahu. (3) Kejujuran perbincangan isu-isu semasa yang taboo tetapi masih berpandukan gaya bahasa Melayu yang tidak biadap.

Apakah kejujuran yang dimaksudkan oleh penulisan buku ‘Salina’ ini? ‘Salina’ merupakan satu refleksi masyarakat Melayu Singapura di zaman pra-kemerdekaan selepas Perang Dunia ke-2. Ia menceritakan kehidupan manusia yang penuh dengan kesusahan kemiskinan yang terjebak di dalam gelombang dosa dengan terpaksanya.

Peperangan amat memilukan — kematian ahli-ahli keluarga dan sahabat handai; dan juga kehilangan harta, amat menghancurkan kewarasan insan-insan Melayu. Mereka ini harus meredah pelbagai konflik kehidupan. Mereka ini hilang pedoman dan hilang gah untuk terus memperjuangkan nilai-nilai murni. Mereka mengikut arus pemodenan yang bersulamkan kemiskinan.

Di dalam mengharungi cabaran-cabaran hidup, mereka terus sahaja meredah apa yang patut demi survival, walaupun ianya mempergadaikan agama, nyawa, bangsa, pendidikan dan harga diri. Begitulah tahap desperation masyarakat apabila dibelenggu kemiskinan.

Salina tidak ketinggalan di dalam kesusahan hidup ini. Habis keluarganya luput dimakan perang. Dia tinggal di Kampung Kambing yang amat hina kemiskinannya kerana suasana yang tidak terjaga dan penempatannya haram. Untuk terus hidup, Salina perlu lupakan segala perancangan untuk belajar dan melibatkan diri di dalam apa jua pekerjaan yang mendatangkan wang yang secukupnya untuk terus hidup. Salina menjadi pelacur!

Apakan daya Salina tidak termampu untuk pekerjaan yang lain kerana tahap pendidikan yang rendah yang tidak dapat diterima masyarakat Singapura yang hanya menerima pendidikan Inggeris. Insan-insan yang sewaktu dengannya juga sama — terutamanya Melayu. Mereka bekerja di kelab-kelab malam, sebagai kelasi, askar dan juga buruh-buruh kasar. Di dalam pembentukan sosial masyarakat Melayu yang negatif ini, nilai-nilai agama juga merosot.

Melayu menjadi pemabuk, perogol dan tidak menghiraukan pendidikan ataupun politik setempat. Malah mereka menjadi bodoh dan sombong tanpa menyedari keperluan untuk memperkasakan bangsa mereka sendiri terutamanya selepas hancur dilanda peperangan.

Salina terjerat di dalam kehidupan yang tidak adil ini. Bukannya dia meminta untuk menjadi sebegini, tetapi keadaan memaksa. Salina, dan juga insan-insan Melayu muda yang lain turut menyalahkan keadaan. Kenapa miskin? Kerana terpaksa menjadi miskin? Kerana hilang punca. Kerana peperangan. Kerana tidak cukup pendidikan Inggeris. Kerana terpaksa, mereka melakukan apa jua pekerjaan yang patut (untuk hidup).

Kemiskinan ini terus berleluasa. Malah anak-anak muda yang dilahirkan selepas peperangan juga melalui dilema hidup kemiskinan ini (mempergadaikan apa yang murni — moral, agama, pendidikan). Akhirnya Salina mengerti bahawa kesemua kehancuran ini dibuatnya sendiri dan bukan keadaan yang perlu dipersalahkan. Biarkan mereka ini hancur di Kampung Kambing, aku (Salina) mahu bebaskan diri dari kehidupan yang tidak bermakna ini — Salina terus menukar hidupnya — Dia ke Kuala Lumpur.

Begitulah separa-sinopsis dari saya yang dapat sedikit sebanyak menampakkan perisa buku ‘Salina’ oleh A. Samad Said ini untuk mereka yang ingin menuaikan semula semangat kesusasteraan Melayu di dalam jiwa. Bacalah buku ‘Salina’ ini. Ianya senang dibaca kerana tidak terlalu keterlampauan sastera klasik Melayunya dan intipati ceritanya amat menarik kerana sublime taboo masyarakat yang tentunya wujud secara realiti — jika tidak sekarang, sekurang-kurangnya relevan di zaman buku ini diterbitkan (60an).

Untuk mengakhiri ulasan buku ini, ingin saya ekstrakkan satu perenggan dari buku ‘Salina’ ini, seperti di bawah, di mana A. Samad Said menyelitkan mesej yang sarkastik kerana ianya amat sesuai dengan keadaan penerimaan (atau ketidak-terimaan) sastera Melayu di masa kini — yang mungkin akan luput ditelan zaman – :

 

Perenggan dari Bab ke-22:

“Kalau endak tunggukan kesempatan, pendeknya sampai mati pun awak tak akan cuba membaca buku-buku Melayulah. Hilmy belajar Orang Putih, baca sajalah buku Orang Putih banyak-banyak; kenallah orang lain banyak-banyak. Nanti kalau orang tanya Hilmy tentang penulis-penulis Melayu, Hilmy kata tak ada sajalah? Kata saja buku-buku Melayu tak ada mutunya, atau katakan sajalah orang-orang Melayu ni malas endah tulis cerita. Atau sesekali nanti bila ada orang tanya: awak kenal Tun Seri Lanang tak? Hah, gelengkan sajalah kepala tu – bilang tak tau. Atau katakan sajalah Tun Seri Lanang tak ada dalam masyarakat Melayu, ya? Dan kalau orang tanya pulak: awak kenal Harun Aminurrashid? Entah. Kenal Abdullah Sidik? Entah. Kenal Keris Mas? Kenal Tongkat Warrant? Entah. Kenal Hamzah? Entah. Kenal Jymy Asmara? Entah. Ai, main entah sajalah. Dan kalau orang tanya awak orang apa? Melayu! Habis tak tau nama pengarang-pengarang Melayu? Hendak geleng-geleng kepala saja? Nak taruh muka di mana?”

 

Ulasan ini dipetik dari kopihangtuah.blogspot.com

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Loading…

0

Tony Eusoff: “I Had My Guards Up, But It Was a Joy to Work on Daulat”

All the Malaysian Songs on Covid You Need to Check Out