Akhirnya filem ‘Daulat’ menemui khalayaknya di seluruh Malaysia secara percuma di platform penstriman digital, iflix mulai tanggal 6 April 2020.
Walaupun filem ini khabarnya dipancung untuk tayangan pawagam, namun ia tidak menyekat penerbit untuk mencari jalan keluar yang lain.
Setelah puas bersilat dengan LPF, penguasa pencantas kandungan filem tempatan, platform digital adalah jalan terbaik bagi penerbit mendapatkan semula modal pembikinan filem tersebut.
Tambah lagi, dalam situasi terkini bila mana dunia digemparkan dengan serangan virus Covid-19 yang menghalang khalayak filem tempatan ke pawagam.
Filem sulung garapan sutradara Imran Sheik menampilkan genre drama ”political thriller” yang pertama kali dipaparkan di layar lebar tempatan.
Sesuatu yang berani ditampilkan dalam kemelut politik negara yang turut menerima tempias ketidakstabilan pada penghujung Februari lalu.
Harus diketahui, filem ini telah berdepan dengan masalah penapisan sewaktu masih di bawah tampuk penguasaan Pakatan Harapan lagi.
Selesai menonton, saya tertarik dengan cerita yang menampilkan sebuah realiti berselindung di sebalik fiksyen bagaimana sang politikus yang telah memerintah negara selama tiga dekad mendepani kekalahan mengejut dalam pilihanraya umum.
Presiden MUNA, Hassan (Tony Eusoff) mengambil keputusan meletakkan Suri (Vanidah Imran), anak didik politiknya yang juga timbalan presiden parti untuk merangka strategi.
Suri dilihat sanggup melakukan apa sahaja demi melihat matlamatnya tercapai, termasuk memastikan MUNA memenangi kembali pilihanraya umum seterusnya walau dengan apa jua cara sekalipun.
Ini termasuk memporak-perandakan pihak lawan dengan pelbagai strategi sehingga negara yang kini diperintah sebuah kerajaan baru kembali menjadi milik mereka.
Sewaktu menonton filem ini saya tidak dapat mengelak untuk meletakkan wajah-wajah sebenar politik negara pada sosok pelakon filem ini.
Pasti kerana jalan ceritanya adalah sesuatu yang pernah kita saksikan pada 9 Mei 2018 lalu dan tragedi yang berlaku selepas gelombang kebangkitan rakyat negara ini.
Walaupun berkali-kali juga pengarahnya menegaskan yang cerita ini tiada kaitan dengan sesiapa sahaja termasuk yang masih hidup atau pun yang telah meninggal dunia.
Susulan tragedi 29 Februari lalu yang menyaksikan kuasa jatuh ke tangan Perikatan Nasional, adalah sesuatu yang sukar untuk filem ini melepaskan dirinya tanpa dicantas sepuas-puasnya oleh sang penguasa.
Antara perkara yang baik dalam filem ini adalah lakonan Vanidah sebagai Suri. Ketrampilan beliau jauh meninggalkan pelakon-pelakon lain dalam cerita yang meletakkan watak licik, bijak namun cukup berhati-hatinya seorang wanita dalam menggerakkan keseluruhan cerita.
Sayangnya terdapat beberapa kelemahan utama yang merosakkan filem ini, antara yang paling utama adalah skripnya yang terlalu dibuat-buat dan lebih memeritkan lontaran dialog pelakonnya umpama satu kuliah yang panjang.
Perkembangan cerita tidak dikupas sebaiknya menjadikan filem ini hanyalah koleksi peristiwa yang ditampal-tampal untuk mencapai kemuncaknya.
Perlu diingat menulis untuk drama bersiri jauh sekali bezanya dengan menulis lakon layar sebuah filem. Jika pasukan penulisnya kukuh dan saling memberi buah pandangan pasti hasilnya tidak sebegini.
Terlalu ambitious bukan hanya pada watak Ali, timbalan perdana menteri parti Wawasan, malah berlaku kepada seluruh produksi. Tidak salah bercita-cita tinggi asalkan hasilnya lengkap penuh ramuan untuk dijamu oleh penonton.
Mengangkat sebuah nashkah bergenre political thriller pasti memerlukan belanja yang besar untuk merealisasikan dunia politik dan persekitarannya.
Pada beberapa adegan umpamanya di Putrajaya seakan sebuah pejabat biasa yang kurang menimbulkan rasa percaya untuk saling melengkapkan pengalaman penontonan penonton.
Saya tertarik pada watak Saiful dari parti Hisbul Muslimin yang ditampilkan oleh pelakon yang lebih muda. Mungkin ia satu jentikan pada sosio politik negara bahawa gagasan Islamisasi itu sebenarnya telah menular di kalangan generasi muda negara masa kini.
‘Daulat’ bukan filem yang tidak wajar ditonton, sebaliknya ia perlu disokong kerana sekurang-kurangnya lahir seorang lagi pengarah yang ada cerita yang mahu disampaikan.
Moga filem ‘Daulat’ bukan penamat dan seluruh penggiat filem tempatan termasuk khalayaknya terus menyokong pembikinnya untuk menzahirkan daya kreativiti mereka dengan lebih baik lagi selepas ini.
Saya melihat bagaimana penonton filem generasi media sosial menyukai jalan ceritanya dan menjadi buah mulut mereka untuk disebar luaskan hingga menjadi trending topic di ruang maya.
Moga pembikin tidak hanyut dalam angan-angan itu kerana dalam filem itu ada menyebut;
“If emotions take over, truth doesn’t matter anymore,” kata Suri kepada Hassan.
‘Daulat’ turut dibintangi Rashidi Ishak, Zul Zamir, Cristina Suzanne dan Jasmine Suraya. Anda boleh menyaksikan filem arahan Imran Sheik ini secara percuma menerusi platform digital iflix sekarang.
Rating: 3/5
Comments
Loading…