Dunia sedang berhadapan dengan krisis kesihatan dalam skala begitu besar yang tidak pernah dialami dalam sejarah moden. Melangkah ke tahun 2020, tidak ada sesiapa yang pernah menduga bahawa wabak penyakit yang kemudiannya dinamakan COVID19 ini akan merencatkan segala perancangan sepanjang tahun.
2020 punya makna yang tersendiri bagi Malaysia. Walaupun agenda Wawasan 2020 yang telah dicanangkan sejak sekian lama untuk memperolehi status negara maju belum tercapai – namun warga Malaysia kekal positif dan mengharapkan bahawa tahun ini bakal membawa sinar yang lebih cerah.
Dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 dan juga pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia UNESCO tahun ini, maka tentunya pelbagai aktiviti telah dirancang sepanjang tahun bagi menyemarakkan lagi sambutannya. Tidak terkecuali juga seluruh penggiat di dalam industri kreatif yang seperti biasa pastinya telah memenuhkan kalendar dengan pelbagai projek dan acara seni budaya.
Namun, panas yang diharapkan sampai ke petang – akhirnya hujan jua di tengahari. Penularan wabak COVID19 yang semakin serius telah menggusarkan semua pihak. Trend jangkitan global di banyak negara yang terjejas teruk seperti China, Jepun, Korea Selatan, Iran dan Itali akhirnya telah turut dialami negara ini.
Satu persatu aktiviti seni budaya telah dibatalkan. Penganjuran acara baru pula semakin berkurangan akibat semua mengambil pendekatan berhati-hati. Semua orang berada di dalam dilema. Perlahan-lahan, ia membawa kesan domino effect yang dirasai oleh segenap penggiat industri kreatif secara berperingkat.
Dan akhirnya hal yang tak dapat dielakkan berlaku juga – Kerajaan Malaysia mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada 18 – 31 Mac 2020, yang kemudiannya dipanjangkan kepada 14 Mac 2020 – menjadikan keseluruhan tempoh menghampiri 1 bulan.
Sebagai kesannya – majoriti para pemain industri kreatif yang tidak termasuk di dalam kategori Perkhidmatan Perlu (Essential Services) harus bekerja dari rumah dan membatalkan segala aktiviti dan acara luaran. Dalam cabang industri kreatif, hanya mereka di dalam sektor penyiaran sahaja (Televisyen dan Radio) yang dibenarkan beroperasi seperti biasa.
Sudah semestinya, ini akan menimbulkan kegelisahan kepada sebahagian besar penggiat seni yang merupakan pekerja bebas (freelancer) dan bergantung hidup sepenuhnya kepada kerja seni mereka sebagai sumber rezeki.
Antara yang dilaporkan membuat komentar mengenai isu ini adalah penyanyi Black Hanifah yang telah menyatakan di dalam wawancaranya dengan Berita Harian Online bahawa ‘periuk nasi’ penggiat seni tempatan turut terjejas kerana COVID19 dan beliau mengharapkan kerajaan “tidak meminggirkan kumpulan penggiat seni dengan bantuan khusus” dan golongan selebriti tanah air dapat “diberi pertolongan seperti apa yang diperoleh orang awam..”.
Artikel yang diberi judul “Artis juga perlu bantuan kerajaan” tersebut telah tular di media sosial dan mendapat kecaman daripada ramai warga maya yang rata-rata mempersoalkan mengapa perlunya bantuan khusus buat golongan artis, yang dianggap berpendapatan tinggi dek kerana mempamerkan gaya hidup mewah di media sosial.
Reaksi daripada masyarakat ini menarik untuk dikaji, terutamanya apabila terma “artis”, “selebriti” dan “penggiat seni” saling bertukar meski merujuk kepada perkara berbeza.
Tanpa menafikan bahawa sememangnya ada penggiat seni yang bergelar “selebriti” berpendapatan tinggi dan tergolong dalam kelas T20, namun realitinya sebahagian besar daripada penggiat di dalam industri kreatif tempatan adalah orang biasa yang menghadapi cabaran hidup sama seperti orang lain.
Kontroversi sebegini membuka sebuah ruang wacana bagi membincangkan persoalan sejauh mana industri kreatif terjejas dan apakah inisiatif yang seharusnya dilakukan bagi mengurangkan kesan buruk COVID19 kepada semua pemain dan penggiatnya.
BAGAIMANA INDUSTRI KREATIF TERJEJAS?
Industri Kreatif adalah sebuah rantaian sektor ekonomi yang disokong oleh pelbagai lapisan pekerja yang meliputi cabang muzik, filem, teater, penyiaran, penerbitan, warisan budaya, fesyen dan pelbagai lagi. Bagi tujuan artikel ini, penulis memberikan tumpuan kepada cabang seni persembahan atau live performance yang dirasakan mendapat kesan langsung daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.
Di sebalik gemerlap cahaya persembahan “artis” yang menjadi bintang di atas pentas, ada ramai tenaga pekerja belakang tabir yang menyokong sesebuah acara. Antaranya adalah pemuzik, pelakon, penari, penata rias, pereka set, pengacara, peragawan, jurukamera, pengurus pentas, penganjur acara, pemilik tapak acara (event space), penyedia khidmat siaraya dan banyak lagi.
Golongan ini mendapat kesan langsung kerana hasil pekerjaan mereka adalah berasaskan acara atau event-based. Pembatalan konsert, teater, festival dan seumpamanya merupakan sebuah kerugian peluang dan kewangan (opportunity and financial loss).
Bagi sesetengah penggiat seni, mereka beruntung kerana hasil kerja mereka boleh diletakkan dan dijual dalam medium dalam talian. Sebagai contohnya penyanyi atau pemuzik boleh memuatnaik hasil karya mereka ke dalam platform streaming muzik, manakala pengacara boleh mengemudikan rancangan sendiri secara live dari ruang tamu rumah mereka melalui media sosial.
Malah, dengan PKP yang sedang dikuatkuasakan, maka akan lebih ramai orang akan berada di rumah dan meningkatkan kadar konsumsi kandungan-kandungan kreatif untuk mengisi masa. Sayangnya, tidak semua penggiat seni ada peluang sebegini atau mempunyai khalayak yang cukup ramai.
Ada juga sesetengah penggiat seni yang berstatus ‘selebriti’ menggunakan kemasyuran mereka sebagai seorang ‘influencer’ dengan berniaga dan menjual pelbagai barangan kepada pengikut mereka atau menjadi duta produk. Namun, kegiatan ini sudah terkeluar daripada peranan mereka sebagai ‘anak seni’ kerana selalunya ia tidak berkaitan dengan kesenimanan atau artistry mereka.
APAKAH PENGGIAT SENI PERLUKAN BANTUAN KHUSUS?
Mengenangkan bahawa dalam setiap belanjawan atau pakej rangsangan ekonomi, pembuat dasar akan sedaya upaya merangka sebuah polisi yang dapat mengagihkan bantuan kepada golongan sasar yang memberikan impak terbesar – maka tentu sekali akan berlaku sedikit sebanyak keciciran memandangkan sumber adalah terhad. Maka, kegusaran sesetengah penggiat seni adalah difahami terutamanya pekerja bebas (freelance) yang tidak mempunyai slip gaji yang mungkin menyukarkan tuntutan bantuan.
Bagaimana pun, dalam situasi yang terdesak dan tidak pernah berlaku seperti COVID19 ini – pihak kerajaan mempunyai fokus dan keutamaan tersendiri, iaitu survivability dan mengekang negara daripada jatuh ke dalam lembah krisis kewangan yang lebih teruk. Setiap sektor pasti merasa kesan daripada wabak COVID19 ini dan bantuan khusus harus diberikan secara saksama dan berstrategi.
Di dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac 2019, kerajaan telah menyediakan pelbagai inisiatif rangsangan ekonomi yang berjumlah RM 250 Billion. Pakej ini bersifat umum untuk semua rakyat, tetapi menyeluruh dan turut akan dinikmati oleh para penggiat industri kreatif.
Penggiat industri kreatif atas kapasiti mereka sebagai seorang individu yang berkeluarga mahu pun yang bujang – boleh memanfaatkan inisiatif-inisiatif seperti :
- Bayaran Prihatin Nasional;
- Penangguhan Pembayaran Insuran/Takaful;
- Internet Percuma sepanjang PKP;
- Diskaun Bil Elektrik; dan
- Bantuan Orang Bujang.
Bagi perniagaan pula, syarikat dalam industri kreatif boleh memanfaatkan sokongan yang diberikan kerajaan terutamanya atas kapasiti sebagai Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) seperti penangguhan pembayaran cukai pendapatan, skim kredit mikro dengan kadar faedah 2%, dan bantuan modal permulaan perniagaan dengan pembiayaan mikro usahawan B40.
Seperti juga kebanyakan sektor-sektor lain, tidak ada peruntukan khusus buat industri kreatif. Semua pihak merasa kesannya – maka, beban bagi mengharungi hari-hari berliku ini haruslah ditangani dengan bijaksana. Inisiatif ini diharapkan dapat membantu penggiat industri ‘terus hidup’ di kala musim suram ini.
Namun, persoalan yang timbul adalah bagaimanakah denyut nadi industri kreatif selepas ini? Mampukah ia terus mampan, bernafas sendiri dan mampu memberikan peluang pekerjaan yang cukup kepada semua? Atau adakah ia akan menguncup, berkadaran dengan menurunnya permintaan daripada orang ramai yang semakin berjimat cermat dalam berbelanja?
Hal ini adalah suatu perkara yang mungkin boleh difikirkan sekarang – bagi membolehkan persediaan dibuat bagi menghadapi hari mendatang yang tidak menentu. Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (CENDANA) adalah antara agensi yang sedang mengkaji perkembangan semasa ini melalui Kaji Selidik Kesan COVID19 Terhadap Sektor Seni Visual, Muzik dan Seni Persembahan di Malaysia.
Meskipun usaha kaji selidik ini hanyalah meliputi sub-sektor kecil sahaja dalam industri kreatif, namun diharapkan ia dapat memberikan sedikit gambaran tentang situasi yang dihadapi oleh penggiat industri kreatif yang akhirnya dapat digunakan untuk membentuk dasar dan inisiatif-inisiatif khusus dalam jangka pendek dan sederhana.
PERANAN PENGGIAT INDUSTRI KREATIF
Dalam masa yang penuh mencabar ini, setiap pihak harus memainkan peranan masing-masing bagi mengurangkan kesakitan sengatan wabak COVID19. Bantuan dari kerajaan hanyalah salah satu daripada jalan yang ada. Namun, semua pihak harus memahami bahawa dalam keadaan sumber yang terhad – industri kreatif harus meneroka pendekatan mandiri. Pendek kata – ia harus menjadi seperti namanya – ‘kreatif’.
Dalam hal ini, seluruh industri harus bersatu hati, berpimpin tangan dan bersoladariti. Saling menyokong rakan seniman yang dalam kesusahan, dan mencari kaedah baharu dalam berkarya. Seni itu bagaikan air, yang akan berevolusi menurut zaman dan keadaan. Insan kreatif pasti akan menemui jalan kreatif bagi mengatasi halangan.
Beberapa hari selepas PKP di Malaysia atau lockdown di seluruh dunia dikuatkuasakan, telah muncul banyak inisiatif kreatif yang diusahakan oleh penggiat seni di mana sahaja. Ada yang membuat konsert secara dalam talian dengan pembayaran minima, ada yang membuka kelas maya untuk mengajar kemahiran seni, ada yang menyediakan khidmat melukis ilustrasi secara jarak jauh.
Dalam masa yang sama, pengaruh penggiat seni yang bergelar ‘selebriti’ juga dapat digembleng untuk menghebahkan sebanyak mungkin maklumat yang meningkatkan kesedaran orang awam berkenaan situasi semasa. Penggiat Kreatif dianugerahkan tuhan dengan sesuatu yang tidak dikurniakan kepada semua orang – iaitu bakat. Maka, ini adalah antara peranan tanggungjawab sosial yang boleh dilakukan pada masa sekarang.
Ya, virus COVID19 mungkin telah menjejaskan industri kreatif. Tetapi penggiatnya harus membuktikan bahawa virus ini tidak sekali-kali akan menjejaskan semangat dan daya juang seluruh umat manusia untuk bangkit melawan serangannya!
– TAMAT –
Rujukan
- Berita Harian Online, 2020. COVID-19 : Artis juga perlu bantuan kerajaan. [Online]
Available at: https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2020/03/669203/covid-19-artis-juga-perlu-bantuan-kerajaan - Berita Harian Online, 2020. Inti Pati Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat. [Online]
Available at: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/03/670078/inti-pati-pakej-rangsangan-ekonomi-prihatin-rakyat - Berita Harian, 2020. Jangan Salah Faham. [Online]
Available at: https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2020/03/669818/jangan-salah-faham - Cultural Economy Development Agency (CENDANA), 2020. Kaji Selidik Kesan COVID19 Terhadap Sektor Seni Visual, Muzik dan Seni Persembahan Di Malaysia. [Online]
Available at: https://www.surveymonkey.com/r/V2BK2ZM - Cultural Economy Development Agency (CENDANA), n.d. Kuala Lumpur As A Cultural & Creative City Report, s.l.: s.n.
- Recording Industry Association of Malaysia, 2016. Economic Impact of The Malaysia Music Industry, Kuala Lumpur: Recording Industry Association of Malaysia (RIM).
Comments
Loading…