Penulis membesar dengan kartun. Sepertimana individu lain, kartun adalah sebahagian daripada elemen yang mewarnai zaman kanak-kanak penulis. Siaran TV ketika itu walaupun hanya mempunyai beberapa saluran, namun cukup meriah. Voltron, Transformers, He-Man, ThunderCats dan pelbagai judul lagi merupakan penghibur nombor satu ketika itu, terutamanya pada cuti sekolah.
Namun bukan kartun-kartun atau siri animasi antarabangsa yang ingin penulis fokuskan pada kali ini. Sebaliknya, penulis ingin memberikan tumpuan kepada satu lagi cabang dunia kartun yang amat signifikan. Tidak lain tidak bukan, majalah-majalah kartun tempatan yang pernah menjadi peneman setia kita semua setiap bulan.
Seingat penulis, majalah kartun pertama yang pernah dibaca adalah majalah Gila-Gila keluaran tahun 1989. Ketika itu, ibu penulis juga merupakan seorang peminat majalah humor tersebut. Walaupun ia bukan dibeli setiap bulan dan hanya diperoleh beberapa kali sahaja jika pergi ke bandar, namun ia berjaya memutikkan cinta penulis terhadap majalah kartun bermula saat tersebut.
Beberapa karya yang masih segar dalam ingatan adalah seperti karakter Zack Kapchai, Ujang dengan Aku Budak Minangnya, Tiga Dara Pingitan, Lagak A. Mamud, English 122 bersama Long, Boy PJ memperkenalkan budaya Malaysia dalam segmen Malaysia Meriahnya, Manjalong dan banyak lagi. Walaupun ketika itu usia masih lagi hijau dan belum berapa memahami satira-satira serta sindiran yang ditampilkan dalam setiap karya yang dilakar kartunis-kartunis lagenda tersebut, namun ia tetap mendatangkan hiburan serta mampu menggeletek hati tatkala membaca setiap pengkisahan dalam bentuk ilustrasi kartun tersebut.
Memandangkan penulis bukanlah berasal daripada keluarga yang mewah, maka majalah kartun bukanlah prioriti untuk dibeli setiap bulan. Namun setiap kali tibanya musim-musim istimewa seperti hari raya dan tahun baharu, pasti ibu penulis akan mendapatkan naskhah Gila-Gila dan sudah tentu penulis juga akan mengulang-ulang pembacaan sambal cuba memahami jenaka-jenaka matang yang dipersembahkan dalam majalah keluaran Creative Enterprise sejak tahun 1979 tersebut.
Memasuki tahun 1994, dunia kartun tanahair sekali lagi digegarkan dengan fenomena majalah Ujang yang diterbitkan hasil idea kartunis Ujang yang telah berhijrah meninggalkan Gila-Gila untuk mencipta jenama majalahnya sendiri. Tampil dengan moto Majalah Lawak Antarabangsa, majalah Ujang lari daripada konsep asal majalah Gila-Gila dengan mempersembahkan jenaka yang lebih gila dan di luar kotak, sepertimana maskot rasmi majalah itu iaitu Din Beramboi.
Tidak cukup dengan Ujang, beberapa majalah yang juga wujud sebelum itu seperti Gelihati, Gelagat, Batu Api dan banyak lagi juga tidak terkecuali bersaing dalam memeriahkan industri kartun tempatan. Namun tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa majalah Ujang terus terkehadapan bukan sahaja kerana keberanian menampilkan jenaka-jenaka tahap “mengkarate lipan”, malah membuka ruang kepada beberapa kelompok kartunis generasi baharu yang sebelum itu belum mencipta nama di arena kartun tempatan.
Menariknya, kebanyakan kartunis di majalah Ujang menggunakan nama samaran daripada buah-buahan serta sayur-sayuran. Justeru terciptalah lagenda kartunis tempatan seperti Petai, Ubi, Bawang, Kobis Bunga, Rambai, Duku termasuk Aie, Nik, Gayour dan ramai lagi. Karakter-karakter seperti Murahguru Tandoori Payat, Dukun Petai, Hang Lekuk, Amar dan kawan-kawan dalam Bersama Selamanya serta banyak lagi yang tidak habis jika ingin disenaraikan, mencipta kelompok peminat majalah Ujang yang tersendiri sebelum Kharisma Publication menutup tirai mereka pada awal 1997 akibat masalah teknikal dan kegawatan ekonomi, sebelum ia disambung oleh MOY Publication tidak lama selepas itu dengan beberapa majalah lain yang tidak kurang hebatnya seperti Apo?, Blues Selamanya dan Toin-Toin (majalah kartun berbahasa Cina).
Nostalgia ketika berada di zaman kegemilangan kartun ketika it terus segar dalam ingatan. Fast forward ke era gajet waktu ini, semakin banyak syarikat penerbitan yang terpaksa mengibarkan bendera putih tanda menyerah dan tidak mampu lagi untuk meneruskan perjuangan mereka dalam usaha memartabatkan industri kartun tanahair. Generasi hari ini yang dilihat kurang gemar untuk membeli serta membaca karya dalam bentuk hard copy dan hanya tertumpu kepada bentuk digital, menyebabkan permintaan terhadap pasaran majalah kartun serta majalah-majalah dalam pelbagai genre lain jatuh merudum. Hanya Gila-Gila masih kekal meneruskan penerbitan, mereka istiqamah setiap bulan bagi memastikan kartun tempatan terus relevan.
Justeru, sebahagian para peminat otai hari ini yang masih dahagakan kartun-kartun tempatan berusaha untuk memastikan segala karya yang pernah diterbitkan pada tahun-tahun kegemilangan kartun satu masa dahulu terus terpelihara. Usaha untuk mengumpul kembali majalah-majalah lama giat dilakukan agar segala majalah-majalah tersebut tidak luput ditelan zaman atau dimamah anai-anai.
Penulis sendiri antara mereka yang kini dalam usaha untuk memelihara dan memulihara karya-karya bermutu ini. Walaupun masih baharu dan belum mampu untuk menyaingi para kolektor otai yang lebih dahulu terkehadapan dalam usaha pengumpulan, namun minat untuk mengumpul semula majalah-majalah serta kompilasi siri kartun tetap membara.
Tidak dinafikan, untuk mendapatkan semula naskhah lama ini bukan sesuatu yang enteng. Kalau ada yang masih dalam simpanan pun, barangkali tidak lagi berada dalam kondisi yang baik dan telah rosak di sana-sini. Justeru, antara langkah bagi mendapatkan semula majalah-majalah ini adalah dengan menyertai beberapa komuniti media sosial yang mana ahlinya juga mempunyai minat yang sama.
Antara komuniti kolektor kartun aktif ketika ini adalah Grup Kolektor Kartun Malaysia (KartUnited) di laman Facebook. Para ahlinya setiap hari akan sentiasa bertukar-tukar idea dan pandangan tentang koleksi yang dimiliki. Bukan itu sahaja, ia juga menjadi lubuk untuk ahli kumpulan berjual beli koleksi-koleksi majalah yang mereka miliki dan ia pastinya tidak akan dilepaskan begitu sahaja terutama bagi yang sedang memburu naskhah-naskhah ini sepertimana penulis.
Hasilnya, penulis yang baru berjinak-jinak dengan hobi pengumpulan majalah ini, berjaya memperoleh hampir 20 naskhah majalah Ujang di zaman Kharisma. Tidak termasuk majalah-majalah retro lain terbitan tahun 90an seperti Gila-Gila, Gelagat, Rileks dan banyak lagi. Ingin diingatkan bahawa semakin rare sesuatu naskhah itu, maka harganya juga pasti bukan calang-calang. Jika di kulit hadapan majalah itu tertera harganya hanya RM2.80, tetapi ia boleh dijual sehingga ribuan ringgit pada satu-satu masa. Contohnya seperti majalah Gila-Gila dan Ujang bilangan yang pertama.
Sedikit tentang kaedah penjagaan; setiap majalah yang diperoleh, akan terus dimasukkan ke dalam sampul plastik lutsinar berpelekat agar ia kekal dalam kondisi terbaik. Kerana jika dibiarkan tanpa berbalut, kertasnya akan mudah rosak dan lebih parah akan dimakan serangga perosak sehingga menjejaskan pembacaan. Ia juga perlu terhindar daripada cahaya matahari secara terus dan lebih elok jika disimpan di ruang khas bagi mengekalkan kondisi “Mira Filzah”, bak kata orang sekarang.
Penulis sendiri pernah menyaksikan koleksi majalah Ujang bilangan 1 hingga 10 secara live di depan mata hasil mengunjungi teratak Allahyarham Zainuddin bin Salleh atau lebih dikenali sebagai Kartunis Lengkuas beberapa tahun lalu. Sejujurnya, koleksi ini kini ibarat emas yang menjadi buruan para kolektor kerana kesukaran untuk mendapatkannya. Dan jika ada yang sudi melepaskannya pun, harganya pasti bukan sebarangan.
Walau apapun, usaha untuk memulihara khazanah berharga iaitu kartun tanahair ini sewajarnya diperkemaskan khususnya oleh pihak-pihak autoriti yang bertanggungjawab. Sebagai peminat dan kolektor, majalah serta naskhah-naskhah ini mungkin sekadar untuk dijadikan hiasan rak buku di ruang tamu. Namun jika kita serius untuk memelihara serta memuliharanya, adalah lebih elok jika terdapat satu arkib, muzium atau khutub khannah khas bagi mengumpul, menjilid dan menyimpannya bagi tatapan generasi hari ini dan akan datang agar ia tidak luput serta pupus ditelan zaman.
Usaha seperti penubuhan Rumah Kartun yang ada pada hari ini wajar dipuji dalam usaha mempertontonkan kepada khalayak tentang khazanah kartun negara. Namun masih ada ruang untuk diperkemas serta ditambahbaik dari semasa ke semasa bukan sahaja untuk tatapan warga tempatan, malah juga kepada para pelancong asing yang sudah pasti akan tertarik dengan warna-warni dan kemeriahan kartun Malaysia.
Langkah pihak seperti Bekazon yang kini berusaha mengumpul dan mengulang cetak beberapa koleksi karya kartunis tempatan juga perlu diberikan tabik hormat. Walaupun ia bukan cetakan asal, namun sedikit sebanyak ia mampu mengubat rindu peminat terhadap kartunis kesayangan mereka yang kini agak menyepi setelah kurangnya majalah-majalah kartun diterbitkan setiap bulan. Usaha pihak Bekazon seharusnya dicontohi syarikat penerbitan lain dalam mengangkat semula karya-karya kartun hebat tanahair.
Ingatlah bahawa kartun bukan sekadar sebuah lukisan jenaka. Tetapi ia juga adalah tamsilan serta kritik sosial yang amat dekat di hati kita semua. Kartun kita, budaya kita.
This post was created with our nice and easy submission form. Create your post!
Comments
Loading…