*ulasan ini mungkin mengandungi spoiler*
Agak tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa genre komedi seram merupakan antara genre filem yang paling ‘menguntungkan’ di dalam industri filem tempatan. Kebanyakan filem genre seram yang dihasilkan di Malaysia telah berjaya ‘pecah panggung’ dan mengangkat genre ini kepada satu tahap yang boleh dibanggakan. Lihat sahaja kutipan filem ‘Hantu Kak Limah’ (2018) yang berjaya mengutip hampir RM36.2 juta di pawagam dan impaknya yang besar terhadap industri perfileman tempatan. Tidak dilupakan juga filem seperti ‘Ngangkung’ (2010), ‘Zombie Kampung Pisang’ (2007) dan ‘Jangan Pandang Belakang Congkak’ (2009) yang juga telah berjaya menambat hati peminat filem tempatan suatu ketika dahulu.
Filem komedi seram secara amnya lebih ringan untuk diterima oleh penonton berbanding filem seram yang dramatik. Namun perbezaan yang paling ketara ialah apabila menonton sebuah filem komedi seram penonton ‘dibenarkan’ untuk melawan paranoia dan ketakutan dengan humor, menjadikan komedi sebagai satu ‘penyelamat’ diri. Jika dilihat dengan lebih teliti pembinaan sesebuah momen seram dan komedi dalam filem sebenarnya adalah sama: kedua-duanya ada setup dan payoff. Kedua-duanya sangat bergantung kepada timing yang tepat untuk mendapatkan kesan yang terbaik. Jadi boleh dikatakan kejayaan sesuatu filem genre komedi seram adalah bergantung kepada kebijaksanaan penulis skrip dan pengarah untuk mengimbangi sesebuah adegan seram/komedi dengan timing yang sempurna dan dibentuk di dalam sebuah penceritaan yang menarik.
Filem ‘Jodoh Syaitan’ terbitan Da Motion Media ini diarahkan oleh Ismail Bob Hasim. Selain daripada Mamat Khalid, Ismail Bob Hasim boleh dikatakan pengarah yang berpengalaman dalam mengarahkan filem-filem ber-genre komedi seram. Filem-filem arahan beliau seperti ‘Ngangkung’, ‘Nongkrong’ dan ‘Alamak… Toyol!’ mendapat sambutan yang baik ketika ditayangkan dahulu.
Filem ‘Jodoh Syaitan’ ini mengisahkan tentang Megat (lakonan Soffi Jikan), seorang pemuda kampung yang sering menemui kegagalan dalam percintaan. Megat diminta oleh ibunya, Mak Timah (Fauziah Nawi) untuk pulang ke kampung kerana ingin mengahwinkannya dengan seorang gadis bernama Mawar (Aprena Manrose). Namun pada masa sama, Tok Salleh (Kamarool Hj Yusof) bersama dua pengikut setianya iaitu Awang (Jay Iswazir) dan Kulop (Allahyarham Abam Bocey) sedang sibuk mencari mayat untuk dipaku, dengan harapan ia hidup semula untuk dijadikan isteri kepada Tok Salleh. Konflik di dalam filem ini timbul apabila Awang dan Kulup yang juga merupakan rakan baik kepada Megat, mendapat tahu bahawa isteri Megat yang baru dikahwininya iaitu Mawar merupakan pontianak yang telah menjelma sebagai manusia dan mempunyai kaitan dengan Tok Salleh.
Filem ini bermula dengan baik di mana penonton dikenalkan dengan watak-watak utama dan penceritaan plot utama filem ini juga jelas. Perkara ini disokong oleh lakonan yang baik oleh semua pelakon utama, terutama sekali Soffi Jikan. Mungkin ada yang sangsi akan kebolehan Soffi Jikan sebagai ‘hero’, namun lakonan beliau sangat believable sebagai seorang lelaki lewat usia yang sering gagal dalam bercinta. Lakonan Jay Iswazir dan Arwah Abam Bocey juga tidak menghampakan kerana berjaya mencuri adegan setiap kali mereka tampil di layar skrin. Secara keseluruhan production design filem ini juga boleh diberikan pujian di samping dengan special effects makeup yang berjaya menimbulkan efek seram yang berkesan.
Elemen komedi dalam filem ini adalah pada tahap yang sangat baik. Boleh dikatakan kebanyakan comedic punchline yang diberikan (walaupun yang ketara atau tidak) kena pada sasaran dan sampai kepada penonton. Tema komedi ini konsisten di sepanjang filem, menjadikan filem ‘Jodoh Syaitan’ ini menghiburkan. Namun begitu, perkara ini menjadikan elemen seram di dalam filem ini sedikit tenggelam dan gagal untuk meninggalkan kesan yang mendalam. Filem ini terlalu bergantung kepada teknik jump scare yang biasa dan dilemahkan lagi dengan skor muzik yang tidak konsisten dan out of place. Pengakhiran filem ini juga dirasakan sedikit anti-klimaks di mana sebagai sebuah filem yang bertemakan komedi seram, ianya berakhir sebagai sebuah filem melodramatik rentetan kisah cinta terlarang antara Megat dan Mawar. Perkara ini dirasakan sedikit janggal dan menimbulkan rasa hambar walaupun pembinaan cerita pada awal dan pertengahan filem adalah baik.
Filem ‘Jodoh Syaitan’ boleh dikatakan agak menghiburkan dan boleh diterima dengan baik oleh peminat filem tempatan. Tidak dinafikan terdapat beberapa momen komedi yang kelakar dan sangat mencuit hati. Namun sebagai sebuah filem komedi seram, filem ini gagal untuk mencapai keseimbangan yang diperlukan untuk berjaya secara total. Peminat filem seram mungkin akan hampa dengan pengakhiran filem ini yang mendatar. Namun begitu, lakonan yang baik oleh para pelakon filem ini sedikit sebanyak membantu filem ‘Jodoh Syaitan’ berbaloi untuk ditonton.
Rating : 2 / 5
Comments
Loading…