Pengarah Mamat Khalid bersama krew dan pelakon ‘Rock 4’
in

Reviu | ROCK 4: Rockers Never Dai

*ulasan ini mungkin mengandungi spoiler*

“ROCKERS NEVER DAI” – tagline filem ini seolah menggambarkan semangat dan kecintaan yang mendalam pengarah Mamat Khalid terhadap siri filem ‘ROCK’ arahan beliau. Walaupun pernah mengumumkan bahawa beliau tidak akan meneruskan lagi francais filem ‘ROCK’ ini, namun kali ini beliau tampil berani untuk mempertaruhkan ‘ROCK 4: ROCKERS NEVER DAI’ terbitan syarikat produksi milik Mamat Khalid sendiri, Enjit Semut Productions dengan kerjasama Primeworks Studios.

Filem ini bermula apabila Dio (Sharwani NS) selepas berbelas tahun koma akibat kemalangan bersama ahli kumpulan Rimba Bara, akhirnya telah tersedar (terima kasih Aman Ra!). Dia kemudiannya menyedari bahawa dia kini hidup pada zaman yang serba baharu dan moden dan tidak boleh menerima hakikat terhadap perubahan drastik yang berlaku pada dunia muzik Malaysia.

Dengan semangat yang ada, dia cuba untuk menyesuaikan diri dengan arus semasa dan cuba menubuhkan kembali kumpulan Rimba Bara 2 yang dianggotai Rayyan (Adam John), Omar (Hazama), Acap (Nazimi Fahmi) dan Seri (Bulan Terry).

Di kala menghayati perjalanan Dio dalam menguruskan penubuhan baru kumpulan Rimba Bara 2, terdapat beberapa isu semasa dan kritikan sosial yang diketengahkan di dalam filem ‘ROCK 4’. Di antaranya isu penggunaan najis dadah dan alkohol di kalangan pemuzik, hubungan interracial, kecelaruan identiti gender dan juga pengaruh teknologi terhadap dunia muzik tempatan.

Seperti juga filem-filem lain di dalam siri filem ‘ROCK’ ini, Mamat Khalid jelas mengkritik tentang hala tuju evolusi muzik tempatan yang kian hilang originaliti atau roh muzik rock itu sendiri. Perkara ini dikuatkan lagi dengan kehadiran cameo daripada ‘otai-otai’ besar dalam industri muzik rock seperti Edrie Hashim, Joey BPR dan Dato’ Awie yang menceritakan realiti sebenar nasib genre muzik rock pada masa ini.

Cuma pengolahan dalam menceritakan isu-isu sosial dan satira ini kadangkala dirasakan tidak seimbang dengan pacing keseluruhan filem, menyebabkan ada masa ianya terasa sedikit mendatar dan draggy. Namun, perkara ini tidaklah begitu mengganggu penonton untuk menghayati filem ini kerana premisnya boleh dianggap santai dan mudah difahami.

Satu perkara yang paling menonjol di dalam kesemua filem di dalam siri ‘ROCK’ arahan Mamat Khalid adalah elemen muzikal dan montaj lagu-lagu rock malar segar yang diberi nafas yang baharu. Di dalam filem ‘ROCK 4’ ini tradisi tersebut masih juga diteruskan tetapi kelainan utama yang ditonjolkan kali ini adalah perubahan yang berlaku pada landskap muzik rock Malaysia itu sendiri.

Selain daripada muzik ‘rock kapak’ tahun 90an, terdapat juga lagu daripada kumpulan Butterfingers, Carburetor Dung serta penampilan istimewa daripada kumpulan lagenda underground seperti The Pilgrims dan Shizuka Ben Aman (Redline 95! Fuhh!) yang pasti akan menggamit memori semua peminat muzik rock tempatan.

Satu perkara yang mungkin menjadi pertaruhan utama Mamat Khalid kali ini adalah dengan membawa muka-muka baharu sebagai pelakon utama filem ‘ROCK 4’. Kekuatan tiga filem ‘ROCK’ sebelum ini datangnya daripada karekter seperti Zack, Amy Mat Piah, Jijoe, Slash, Zul Kapan dan Che Man yang memang sinonim dan mencetuskan fanbase yang kuat buat filem-filem ini.

Dengan ketiadaan watak-watak ini (kecuali dalam babak flashback dan dream sequence), tanggungjawab berat harus digalas oleh pelakon-pelakon baharu yang diketengahkan. Lakonan dari Sharwani, Adam John dan Nazimi Fahmi secara totalnya adalah memuaskan, namun pujian harus diberikan kepada Hazama dan Bulan Terry yang tampak lebih menonjol dan lebih menarik minat untuk ditonton.

Lakonan Hazama sebagai pemain bass Omar ada isinya dan layak diberikan lebih screen time. Namun agak sayang salah seorang penyanyi yang mempunyai vokal yang terbaik di Malaysia terbatas hanya sebagai pemain bass dan bukan sebagai vokalis di dalam filem tentang kumpulan muzik rock.

Watak-watak sampingan dan sokongan di dalam filem ‘ROCK 4’ ini juga seperti trademark di dalam filem arahan Mamat Khalid yang lain, ada kalanya menonjol dengan one-liner dan mencuri tumpuan beberapa babak dalam filem ini. Perkara ini membuatkan ada beberapa ketika pelakon utama dirasakan agak ditenggelami watak sokongan dan cameo, walaupun ianya tidaklah begitu banyak.

‘ROCK 4’ masih boleh dianggap sebagai salah satu kesinambungan kepada perjalanan kisah kumpulan Rimba Bara, walaupun kebanyakan ‘mat rock kental’ di luar sana mungkin tidak puas dengan cerita yang ditampilkan kali ini. Terdapat beberapa momen komedi dan elemen pengajaran yang menghiburkan dan menarik untuk ditonton.

Hakikatnya, jelas seperti juga yang digambarkan di dalam filem ‘ROCK 4’ ini, walaupun muzik rock telah ditenggelami oleh genre muzik semasa, namun tanpa yang lama tiadalah yang baharu. Berasaskan kepada perkara ini, dan kecintaan yang tebal pada muzik rock, filem ‘ROCK 4: ROCKERS NEVER DAI’ boleh menjadi titik cerah kepada permulaan baru legasi Rimba Bara 2.

Rating : 3/5

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

The Gendang Weekly Digest #4

The Gendang Weekly Digest #5