Photo by Quinn Buffing on Unsplash
in

Sayang Isteri Tangan-Tangankan… Macam Dalam TV

Nampak gayanya budaya mendera pasangan sedang meresap ke dalam kehidupan kita apabila drama-drama di televisyen dan novel-novel di kedai buku sering memaparkan kebiasaan perbuatan ini. Suami yang tidak berapa sayang isterinya boleh sahaja menunjal-nunjal kepala si isteri, mudah sahaja mengherdik, memukul, menampar, memaki hamun dan sebagainya atas alasan tidak begitu mencintai. Isteri yang tidak suka dengan suami boleh sahaja menghalang si suami dari memasuki bilik kelamin dengan alasan yang sama. Ini bukanlah kebetulan, ini adalah psyche masyarakat kita yang membolehkan perbuatan ini, menghalalkan ianya berlaku. Kisah yang ditatang masyarakat kita seperti filem Ombak Rindu menyaksikan wanita diperlakukan begitu teruk sekali, dirogol, kepala dihentak di mangkuk tandas, dikasari dan akhirnya wanita ini mengagungkan lelaki ini di dalam hidupnya.

Apa mesej yang disampaikan kepada para penonton secara langsung atau tidaknya? Bahawa, wanita perlu menerima segala derita yang hadir dalam hidupnya dengan redha kerana di akhir rancangan, lelaki itu akan berubah dan menyintainya? Namun, adakah realitinya begitu? Atau wanita akhirnya akan didera dan terus dikerjakan sehingga patah tulang belulang, sehingga ranap semangat untuk hidup?

​Lelaki itu merupakan pelindung kaum hawa terutamanya jika wanita itu isteri dan anak-anak perempuannya. Wanita akan lembut dengan kasih sayang dan perhatian. Jika lelaki menggunakan kekerasan untuk memerintah kaum wanita, adakah ini boleh diterima masyarakat kita? “Dia tak pernah berkasar sebelum ini. Ini kali pertama”, “Dia bukan orang yang begitu. Dia sudah meminta maaf.”, “Saya yang salah yang buat dia marah”, merupakan alasan-alasan yang sering diberi isteri untuk membenarkan perkara ini berlaku.

Ciri-ciri penderaan fizikal dan mental di dalam perkahwinan perlu diberi perhatian dan dikenalpasti oleh setiap pasangan kerana ini akan membentuk kualiti perhubungan yang memudharatkan. Semuanya bermula dengan kawalan yang berlebihan, cemburu yang membuta. Kemudian, diikuti dengan amaran-amaran untuk mencederakan sekiranya perkara yang tidak digemari dilakukan pasangan. Dan kemuncaknya ialah penderaan fizikal yang berlaku di balik dinding, jauh dari mata awam dan keluarga. Wanita yang mengalami penderaan sebegini sukar untuk dipulihkan dan impaknya akan terlihat dengan cara beliau mengendalikan diri sendiri dan membesarkan anak-anak yang satu hari nanti mungkin akan memulakan pusaran perangai ini kerana apa yang mereka lihat itu ialah kebiasaan.

Drama-drama yang menampilkan adegan suami-suami begini perlu dikekang supaya masyarakat atau anak-anak kecil yang menonton tv bersama tidak menganggap perkara ini perkara biasa. Jadi apa salahnya jika kita tidak suka pasangan kita dan kita pukul kepala dia? Jadi apa salahnya saya baling barang ke pasangan saya kerana saya tidak begitu cinta kepadanya? Jawapannya: Semuanya adalah SALAH! Kita tidak boleh bertolak ansur dengan penderaan fizikal atau mental. Kita tidak boleh mengganggap ini perkara kecil yang tidak mungkin berulang.

Pendera bermula secara kecil-kecilan dan akhirnya mampu membuat mangsa dera hilang nyawa dengan amarah pendera yang membuak. Wanita perlu sedar betapa bahayanya membiasakan diri dengan apa juga bentuk penderaan. Pendera merupakan mereka yang berkemahiran tinggi dalam seni memujuk. “Abang minta maaf zah, abang tak buat lagi,“ sedangkan yang biru lebam itu mata isterinya. “Kembalilah kepada abang dan keluarga kerana abang tak sengaja,” walhal ini kali ke 23 perut isteri ditumbuk padu oleh si suami celaka.

Utusan Online melaporkan sebanyak 57,519 kes penderaan wanita dilaporkan sepanjang 2010 sehingga Mac 2017 dan 40% daripada angka ini merupakan keganasan rumahtangga yang melibatkan wanita sebagai mangsa. Statistik Polis Di-Raja Malaysia mencatatkan 62,670 kes dari tahun 2000 dan 53% daripada mangsa berketurunan Melayu, diikuti 22% bangsa India, 14% bangsa Cina dan selebihnya wanita berbangsa lain-lain.


Sila sedar bila tompok-tompok penderaan ini mula muncul dalam kehidupan, dan kawal keadaan dengan tidak membiarkan pendera biasa dengan perangainya. Mari kita bermula dengan tidak menonton drama-drama atau filem yang menormalisasikan penderaan wanita, dan laporkan kejadian penderaan ke pihak polis atau mangsa boleh menelefon talian Nur 15999 untuk memperoleh bantuan. #sayNOtoderasis!

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Loading…

0

Kaya’s Debut Album, ‘On Toast’ is Refreshingly Good

BLISTER: Pride of the Kristangs