in

Aura Allahyarham Kelly

Nama Wan Kelly Abdul Rahman mungkin sedikit asing tetapi beliau merupakan sosok penting dan tulang belakang di dalam industri muzik selama ini. Tanggal 4 Mei 2019 di Ipoh, ketika menjalankan sesi “soundcheck”, Kelly telah rebah dan meninggal dunia.

Pemergiannya meninggalkan kesan mendalam, bukan sahaja di kalangan ahli keluarga dan sahabat handai, tetapi juga teman industri yang mengakui sumbangan tak ternilai Kelly yang sering kelihatan bersama pemuzik-pemuzik lain mengiringi artis-artis Malaysia membuat persembahan.

Kehilangan Kelly telah mencetus idea buat Dato’ Hashridz Murshim atau lebih dikenali dengan nama Acis, untuk membuat Konsert Amal bagi mengumpul dana untuk membantu balu Allahyarham Kelly dan anak-anaknya. Setelah 4 bulan bertungkus lumus membuat persiapan, akhirnya pada 28 September lalu bertempat di The Gasket Alley, Petaling Jaya konsert ini telah berjaya direalisasikan dengan lebih 300 orang hadirin. Konsert Kenangan Kelly ini juga menarik perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Tuan Gobind Singh Deo yang turut hadir pada malam itu.

Di mulakan dengan Acis bercerita serba sedikit mengenai diri Kelly, beliau kelihatan sebak beberapa kali ketika memberi ucapan yang turut menyentuh perasaan semua yang hadir. Acis juga memberi penghormatan kepada seorang lagi sahabat rapatnya Fauzi Samin (Aji), seorang gitaris tekenal yang telah pergi menyahut seruan illahi pada 5 September. Pemain dram legenda kumpulan Search, Yazit Ahmad turut diberi penghormatan pada malam itu.

Dengan derma minima RM150 setiap seorang, konsert “star studded” yang menggabungkan artis legenda dan popular itu memberikan persembahan buat para penderma dari pelbagai bangsa atas satu nama, Wan Kelly. Dana yang telah berjaya dikumpul pada malam itu melebihi RM50,000.

The Gasket Alley sesak pada malam itu meskipun hujan turun dengan lebatnya, memberi gambaran betapa bermaknanya Kelly kepada setiap yang hadir pada malam itu.

Konsert yang membariskan 23 orang artis dan 40 pemuzik itu memberi impak luarbiasa. Aura ketika berada di dalam The Gasket Alley itu sungguh magis dan seolah-olah memberi sinar kepada Industri Muzik Malaysia. “You can feel the love and sincerity in every performance”.

Gabungan artis merentas zaman yang membuat persembahan hampir 5 jam itu sangat memberi kepuasan kepada setiap yang hadir. Malam itu turut menyaksikan anak Allahyarham Kelly, Wan Adam berada di atas pentas mengiringi Hazama ketika persembahan.

Sememangnya, sudah tiba masa untuk semua pihak bersatu dan memberi sokongan kepada industri seni khususnya muzik. Artis tempatan kita sering dipandang enteng dan didiskriminasi di tempat sendiri walhal di luar Malaysia mereka lebih dihargai, contohnya Datuk Sheila Majid dan Yuna. Para penaja harus lebih cenderung memberi sokongan kepada artis tempatan seperti yang sering dilihat di negara jiran, Indonesia.

Konsert Kenangan Kelly minggu lepas sememangnya merupakan “A celebration of life and music”. Terasa seperti berada di Festival Muzik dan ia hanya dapat dirasai mereka yang hadir pada malam itu. Sesungguhnya Aura Kelly telah menyatukan semua, dan semoga ia akan terus menyuntik semangat buat semua untuk terus berjuang demi industri muzik tanahair.

Al-Fatihah buat Wan Kelly Abdul Rahman, Fauzi Samin dan Yazit Ahmad. Semoga roh kalian ditempatkan bersama-sama mereka yang beriman.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Embrace Entrepreneurship in the Content Industry